Izzue Islam ambil langkah paten nama


Selepas kerap menjadi mangsa penipuan yang menggunakan namanya, Izzue Islam, artis itu telah mempatenkan namanya sebagai langkah menjaga hak dan salah guna terhadap mereka.

Baru-baru ini, penyanyi dan pelakon Izzue Islam, 28, menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama dan gambarnya menerusi akaun Facebook palsu untuk menipu wang peminat bagi urusan jual beli telekung.

Pelantun lagu Bimbang itu menyedari hal tersebut selepas menerima beberapa pesanan daripada peminatnya dari Indonesia berhubung penipuan berkenaan yang membabitkan kerugian sehingga RM6,000.

Sehubungan itu, Izzue membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh untuk membersihkan namanya dan turut mengingatkan kepada peminat supaya menyemak dahulu akaun media sosial sebelum membeli agar tidak menjadi mangsa.

Ikuti temu bual bersama pelakon filem Aliff Dalam 7 Dimensi ini ketika ditemui pada majlis sidang akhbar program realiti permainan lawak spontan, Super Spontan Xtravaganza di Hotel Marriott, Putrajaya baru-baru ini.





KOSMO!: Boleh ceritakan bagaimana Izzue sedar kes penipuan jual beli telekung yang terjadi baru-baru ini?

IZZUE ISLAM: Saya mula sedar apabila ada beberapa peminat dari Indonesia menghantar mesej melalui laman Instagram. Pada mulanya saya tidak ambil kisah sehingga ada di antara mereka yang ditipu mula meninggalkan komen pada gambar yang saya muat naik.

Selepas saya membuat pendedahan menerusi Instagram Stories, ada antara mereka menghantar mesej berserta bukti pembayaran yang dibuat melalui perkhidmatan pengiriman wang.

Melihatkan situasi itu, saya membuat laporan polis untuk membersihkan nama. Saya juga membuat laporan dan mengesahkan akaun media sosial milik saya di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Saya sudah memberikan kerjasama kepada pihak SKMM berhubung kewujudan beberapa akaun palsu yang menggunakan nama dan gambar saya.

Adakah kes penipuan yang mengaitkan nama Izzue ini merupakan kejadian pertama?

Sejujurnya ini adalah kejadian kedua. Sekitar dua tahun lalu, saya juga pernah dituduh menipu menerusi penjualan telefon bimbit di laman Instagram.

Ada individu yang mencipta akaun palsu menggunakan nama saya dan kewujudan akaun itu diketahui selepas menerima mesej daripada mereka yang ditipu sebelum membuat laporan polis.

Jika dilihat golongan selebriti sering dijadikan sasaran untuk tujuan penipuan. Apa pendapat anda berkenaan perkara itu?

Golongan selebriti ini dijadikan sasaran kerana itu merupakan cara mudah untuk menarik perhatian peminat.

Sudah tentu peminat tertarik untuk membeli apabila menggunakan nama dan gambar seseorang selebriti itu, apatah lagi jika mereka sendiri jarang mengikuti perkembangan seseorang selebriti tersebut.

Apa nasihat yang anda boleh kongsikan bagi membendung perkara seperti itu berulang kembali?

Media sosial sukar dibendung dan apa yang boleh saya nasihat ialah jangan cepat terpedaya selain perlu menyemak kesahihan akaun media sosial itu sebelum meneruskan proses jual beli.

Tidak kira akaun milik selebriti atau peniaga online yang lain. Tindakan itu perlu dibuat bagi mengelakkan kita daripada menjadi mangsa.

Pada pendapat anda, golongan selebriti patut atau tidak mempatenkan nama mereka bagi mengelakkan ia disalah guna?

Tindakan itu sememangnya patut kerana adakalanya golongan selebriti menggunakan nama mereka untuk menjalankan perniagaan dan bimbang nama disalah guna.

Saya sendiri sudah mengambil langkah tersebut dengan mempatenkan nama serta produk keluaran saya pada awal bulan ini.

Langkah itu dibuat supaya nama dan jenama keluaran saya lebih selamat. Malah, saya turut menyarankan rakan selebriti yang lain supaya melakukan tindakan sama sebelum individu yang tidak bertanggungjawab mencuri hak kita.

Beralih kepada kerjaya, apa perkembangan terkini anda?

Saya baru habis menjalani penggambaran telemovie selain bakal menyertai program Super Spontan Xtravaganza. Saya juga sedang menjalani sesi latihan untuk pementasan teater Tanah Airku di Istana Budaya selain sibuk mencipta beberapa buah lagu.

Post a Comment

Previous Post Next Post