Pengorbanan Naim Daniel


Selepas 12 tahun bergelumang sebagai anak seni, pelakon yang mula membina nama menerusi drama bersiri Cucu Betong dan kini bergelar penyanyi, Naim Daniel mahu memberi fokus kepada kerjaya muzik yang diceburinya ketika ini.

Pemilik nama lengkap Muhammad Naim Daniel Baharin, 21, itu berasa sudah tiba masanya untuk dia mencuba dan meneroka bidang baharu tersebut.

Naim yang memulakan kerjaya lakonan menerusi telefilem Igauan Semalam sebagai pelakon tambahan itu menyifatkan dia perlu berkorban demi mencapai apa yang dihajatinya dalam bidang muzik.

“Setakat ini kerjaya lakonan masih berjalan seperti biasa, cuma saya lebih memberikan fokus kepada bidang muzik buat masa ini.

“Hal ini kerana jika saya melakukan kedua-dua bidang itu secara serentak, saya takut hilang fokus dan tidak memperoleh apa yang diinginkan,” katanya ketika ditemui pada Showcase Muzik Muzik 33 di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Pelakon filem Bisik Pada Langit itu turut mengakui terpaksa menolak hampir 10 tawaran lakonan bagi memberi fokus kepada bidang seni suara.

Malah, Naim juga tidak ralat untuk berbuat demikian kerana percaya sebagai seorang pelaku seni, dia perlu berkorban demi kelangsungan kerjaya nyanyiannya.

“Sudah 12 tahun saya bergelar pelakon dan rasa inilah masanya untuk cuba meneroka cabang seni yang lain pula walaupun terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang tiba.

“Jika tidak, saya bakal berangkat ke Milan, Itali untuk menjayakan penggambaran drama di sana tetapi saya terpaksa menolak tawaran itu kerana terikat dengan kerjaya sebagai penyanyi,” ujar anak jati Kuala Lumpur itu.

Pengorbanan

Ketika ditanya adakah dia tidak takut disenaraihitamkan selepas menolak beberapa tawaran lakonan, Naim berpendapat dia percaya pada rezeki yang datang.

Ujarnya, setakat ini dia tidak mempunyai masalah dengan mana-mana produksi yang menawarkannya berlakon.

“Buat masa ini, pihak produksi memahami tetapi adakalanya saya rasa sayang mahu melepaskan setiap tawaran yang datang.

“Bagaimanapun, saya perlu menganggap itu merupakan pengorbanan yang dilakukan untuk sisi bergelar penyanyi pula walaupun dari dulu juga ada beberapa tawaran lakonan yang terpaksa dilepaskan,” jelasnya yang sebelum ini pernah dicalonkan menerusi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik bagi filem 29 Februari pada Festival Filem Malaysia ke-25.

Bercerita berkenaan kemunculan lambakan penyanyi baharu pada masa kini, Naim mengakui dia memilih untuk tidak berada dalam keadaan selesa berkenaan perkara itu.

Sebaliknya, dia percaya persaingan itu penting dalam membantunya mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik tanah air.

“Boleh dikatakan setiap hari saya mendengar kemunculan penyanyi baharu dan tidak dinafikan takut juga kerana berasa tempat kita semakin kecil. Saya tidak mahu berasa selesa dengan keadaan itu.

“Sememangnya kita perlu mengalu-alukan kemunculan mereka dan itu membuatkan saya perlu berusaha lebih keras kerana untuk kekal relevan dalam industri seni ini bukan mudah,” tutur Naim yang menerima 4.1 juta tontonan menerusi single pertamanya, Sekali Lagi sejak dimuat naik pada awal tahun lalu.

Malah, Naim yang bernaung di bawah syarikat rakaman World Peace Entertainment itu turut mengakui perlu sentiasa bereksperimen pada sesebuah karya itu untuk melihatkan penerimaan khalayak.

Selain itu, dia juga berpendapat, perlu membawa semangat yang telah dilalui sepanjang menempa nama dalam bidang lakonan untuk kekal dalam industri seni muzik pula.





Motivasi

Mengulas berkenaan kuasa tular melalui media sosial pada masa kini, Naim yang mempunyai kelulusan dalam jurusan Diploma Muzik dari Universiti Teknologi Mara itu berpendapat, perkara tersebut bagus untuk tujuan promosi.

Katanya, seseorang anak seni itu juga perlu mengetahui mereka berada pada tahap mana sekiranya menggunakan kuasa tular untuk dikenali.

“Sememangnya ia boleh membantu untuk promosi tetapi apabila tular, perkara yang tidak sepatutnya juga mampu menjatuhkan kredibiliti kita sebagai anak seni.

“Apa yang boleh dikatakan, saya lebih gemar dikenali melalui cara sihat walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk berada pada tahap sekarang,” jelasnya yang mengakui pernah terlintas untuk melakukan sesuatu dalam usaha menaikkan namanya dalam industri.

Bercerita berkenaan perkembangan terkininya, pelakon drama Cinta Elysa itu memberitahu, dia bakal muncul menerusi single keduanya berjudul Sempurna pada Ogos depan.

Lagu bergenre pop tersebut yang dicipta Naim bersama Omar K itu berkisarkan rasa tidak selamat yang dialami oleh sesetengah individu dalam kehidupan.

“Lagu ini dicipta bagi memberikan motivasi kepada khalayak. Malah jika bercakap pasal rasa tidak selamat, saya sendiri mengalaminya tetapi kita perlu tahu cara untuk mengatasi masalah itu.

“Selain itu, saya juga bakal muncul menerusi single bahasa Inggeris pertama selepas ini,” beritahu Naim.

Kali pertama melangkah ke pentas Muzik Muzik 33, Naim menyifatkan peluang itu merupakan kejayaan terbesarnya setakat ini.

Malah katanya, sebagai pendatang baharu, dia mahu cuba membawa lagu nyanyiannya dengan sebaik mungkin selain berbesar hati sekiranya lagu itu berpeluang ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

“AJL merupakan pentas berprestij yang mengiktiraf pencipta sesebuah lagu. Sudah tentu setiap penyanyi mengimpikan untuk melangkah ke pentas anugerah tersebut.

“Jika diberi peluang, ia merupakan satu kebanggaan buat saya apabila dapat bersama-sama penyanyi bertaraf high profile dalam AJL,” ujarnya yang mempunyai perancangan untuk melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah dalam bidang komposisi muzik tahun depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post