Penyanyi, Elizabeth Tan, 25, tidak kisah dilabel sebagai artis seksi selepas penampilannya dalam video muzik lagu barunya, Polis Entry dikritik hebat oleh netizen.
"Saya sengaja tampil seksi kerana ingin menunjukkan sisi berbeza diri saya. Saya tak kisah kalau orang label saya seksi.
"Kalau ia berlebihan, ibu saya akan tegur. Jadi, kalau ibu saya masih okay, maksudnya tahap seksi itu masih tidak keterlaluan," katanya.
Menurutnya lagi, dia juga bukanlah gadis yang mengawal keayuan seperti yang orang sangkakan.
“Ramai anggap saya sebagai gadis ayu yang manis atau dalam kata lain, ‘control’ cantik. Saya sebenarnya sedikit ‘boyish’ dan kadangkala, sangat ‘berani’ dalam berpakaian.
“Tapi, selepas jadi artis, saya tahu penampilan saya perlu dijaga dan nampak lebih kewanitaan. Sekarang, saya selesa tampilkan gaya yang saya sendiri selesa seperti ini,” katanya.
Elizabeth yang popular menerusi lagu Knock Knock itu juga memberitahu bahawa dia tidak terlalu mengambil pusing komen netizen di media sosial.
“Kalau dulu, saya selalu membaca komen-komen dan rasa tertekan dengan kritikan pedas netizen. Sekarang, rasanya tidak lagi dan lebih santai.
“Kritikan yang membina, saya ambil dari sudut positif kerana kebanyakannya berguna untuk saya perbaiki kelemahan saya. Kalau yang negatif dan merepek, saya abaikan,” katanya.
Elizabeth baru saja melancarkan single terbarunya, Polis Entry dan mula meraih jumlah tontonan hampir dua juta di YouTube.