Pengacara Borak Kopitiam TV3, Nur Hidayah Abu Bakar atau Dayah Bakar, 29, sah bergelar isteri kepada Muhammad Hanif Hamidi, 29, pada 9.38 pagi tadi.
Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Nikah, Cerai, Rujuk, Masjid Ar Rahimah dari Jabatan agama islam wilayah persekutuan, Muhamad Nazri Ramli.
Pada majlis berlangsung di 9 Kedondong, Ampang itu, Dayah menerima mas kahwin RM300 serta tujuh dulang hantaran, dibalas sembilan dulang. Wang hantaran pula dirahsiakan.
Majlis dihadiri lebih 200 tetamu terdiri daripada keluarga kedua pihak, rakan artis antaranya Fara Fauzana dan Heliza Helmi serta sahabat handai.
Dayah kelihatan menitiskan air mata sepanjang majlis akad nikah berlangsung.
"Alhamdulillah... semuanya berjalan lancar dan sempurna seperti dirancang.
"Saya kini menggalas tugas sebagai isteri dan dalam masa sama menjadi milik masyarakat.
"Syukur suami memahami dan mengizinkan saya untuk meneruskan karier seperti biasa," katanya.
Pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi untuk rakan pada 1 Julai ini di Cornerstone (IPC) Wisma Selangor Dredging.
Majlis kenduri menyambut menantu pula akan berlangsung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 7 Julai.