Tanggal 27 Jun lalu genap 21 tahun usia penyanyi yang popular dengan lagu Bunga, Nurfarrah Izzatie Johari atau lebih dikenali sebagai Ara Johari.
Bertemu wanita kelahiran Negeri Sembilan dalam majlis sambutan hari jadi anjuran kelab peminatnya, Ara Squad di Bandar Baru Bangi, Rabu lalu, gadis periang itu berharap diberikan kesihatan yang baik, murah rezeki dan berjaya dalam setiap apa dilakukan.
Siapa sangka ketika memotong kek sambil diiringi lagu ulang tahun nyanyian peminat, keluarga serta rakan artis yang hadir, Ara tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.
“Ini adalah sambutan hari jadi paling ‘grand’ setakat ini. Tidak pernah rasa semeriah ini hingga saya terharu dan menangis tiba-tiba.
“Terima kasih Ara Squad kerana sudi mengadakan majlis ini yang menjadi detik manis untuk dikenang. Tanpa sokongan mereka, saya tidak akan sampai ke tahap sekarang. Jasa kalian amat saya hargai,” katanya.
Ara Johari
Majlis yang berlangsung pada jam 9 malam itu dihadiri kira-kira 150 tetamu. Selain artis popular seperti Ismail Izzani, Hael Husaini, Aman Aziz, Dottie dan Sufie Rashid, majlis berkenaan turut dihadiri peminat dari Thailand yang sanggup terbang ke sini semata-mata mahu bertemu Ara.
Difahamkan peminat yang berasal dari Thailand itu meminati Ara selepas mendengar suara merdu penyanyi ini di stesen radio Hot FM menerusi pertandingan Fantastik 4 Mac lalu.
Seiring peningkatan usia Ara berkata, dia ingin jadi lebih matang terutama dalam membuat keputusan serta membuang jauh sikap barannya.
Ara bersama ibu bapanya, Mazidah Razali dan Johari Mohd Nor.
“Saya masih muda, perjalanan hidup pun masih jauh. Diharap pada usia 21 tahun ini saya akan jadi individu lebih baik dan dapat buang jauh sikap buruk.
“Saya mahu mulakan hidup baru dan mencari lagu yang berkualiti untuk memastikan kerjaya seni berjalan lancar. Malah, saya ingin mengurangkan panas baran.
“Ia perlu supaya orang sekeliling berasa lebih selesa setiap kali ada bersama saya,” katanya.
Kata Ara, dia juga ingin lebih berdikari serta memikirkan kelangsungan hidupnya pada masa depan supaya keluarga dapat hidup dengan senang.
“Setiap apa yang saya buat semuanya untuk keluarga. Saya mahu lihat ibu bapa dan adik-beradik hidup senang serta gembira. Saya ingin buktikan tiada apa yang mustahil digapai sekiranya kita berusaha dan berdoa.
“Selain aktif menyanyi, saya juga mengembangkan perniagaan katering Ara Kitchen By Ara Johari di Shah Alam serta bakal membuka cawangan di Negeri Sembilan tidak lama lagi. Semua ini untuk kesenangan keluarga tersayang,” katanya.
Sambutan ulang tahun Ara turut dimeriahkan dengan aktiviti permainan.
Ditanya mengenai keakrabannya dengan beberapa selebriti tempatan seperti Ismail Izzani, Hael Husaini, Indah Ruhaila serta Aman Aziz, Ara menjelaskan mereka pemangkin semangatnya untuk terus berjuang dalam gelanggang seni.
“Saya rapat dengan beberapa rakan artis. Keakraban kami bukan setakat di atas pentas, tetapi mereka inilah yang banyak membantu saya dalam banyak perkara termasuk muzik.
“Selain memberi nasihat membina, mereka selalu memberikan kata-kata semangat untuk saya terus menghasilkan lagu bermutu dan memperbaiki kelemantan diri. Saya mahu menjadi penyanyi disegani satu hari nanti,” katanya.
Kata Ara, tiada apa yang diharapkan dalam bidang seni suara ini melainkan kerjaya seni yang diusahakan ini berjalan dengan lancar.
Sambutan hari jadi Ara meriah dengan kehadiran selebriti tempatan.
“Saya sentiasa berdoa dan berusaha agar satu hari nanti kehadiran saya dapat memberikan impak besar dalam industri muzik.
“Saya bukanlah penyanyi yang handal, tetapi tidak akan berhenti belajar. Saya sentiasa menggandakan usaha supaya peminat memandang bakat nyanyian yang saya perjuangkan selama ini,” katanya.
Berkongsi perkembangan terkini, Ara bakal tampil dengan single ketiga September ini.
“Kali ini saya mempertaruhkan lagu bergenre rock hasil tulisan saya bersama seorang rakan. Insya-Allah single ini akan dilancarkan pada 16 September depan.
“Selepas mempertaruhkan dua lagu ciptaan Hang Nadim, saya mahu cari kelainan. Saya mahu keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran baru,” katanya.