Aiman Tino Isu murung jangan dibuat main


Penyanyi Aiman Tino menasihatkan rakan seperjuangannya, Haqiem Rusli agar tidak mempermainkan isu kemurungan.

Jelas Aiman, 20, kemurungan itu adalah isu sensitif dan sudah banyak kes menyaksikan individu yang menghadapi penyakit itu memilih untuk membunuh diri.

Katanya, jika benar penyanyi yang dikenali dengan lagu Tergantung Sepi itu menghadapi kemurungan, dia sepatutnya meminta pertolongan pihak yang berkebolehan memberi pendapat selain mendapatkan nasihat daripada kedua ibu bapanya.

"Tidak dinafikan berada di dalam industri bukan mudah sebab kita perlu berdepan dengan bermacam cabaran.

"Tapi isu kemurungan tidak boleh dibuat main kerana ia isu serius.

"Saya berharap apa yang Haqiem lakukan itu bukanlah sekadar gimik kerana ia akan membuatkan peminatnya berasa sedih dengan tindakannya itu," katanya ketika ditemui ketika sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, semalam.





Haqiem terdahulu telah memadamkan semua foto dalam Instagramnya awal Syawal lalu dan memberitahu akan membuat keputusan untuk bersara daripada dunia hiburan pada Julai.

Tindakan itu ekoran daripada masalah peribadi dan kemurungan yang dihadapinya sejak bergelar selebriti.

Susulan kenyataan yang dibuat, orang ramai terutama selebriti turut meniupkan kata-kata semangat untuk kembali bangkit.

Dalam pada itu ujar penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci ini, dia sendiri sering dikritik dan dikecam netizen sehingga tertekan, namun namun menganggap perkara itu remeh.

"Saya cerita lemang hangit pun jadi sebab dikecam. Mula-mula dulu memang rasa tertekan, dan kalau ikut darah muda, jika depan-depan memang boleh bergaduh.

"Tapi saya tidak ambil pusing dengan segala kecaman dan saya anggap perkara itu remeh.

"Malah Saya lihat dari sudut positif sahaja dan yang negatif itu kita tak perlu fikir,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post