Amelina menyangkal dakwaan dia bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang ahli perniagaan pada Disember depan.
Amelina menyangkal dakwaan dia bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang ahli perniagaan pada Disember depan.
Penyanyi dangdut terkenal Amelina menyangkal dakwaan kononnya dia bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan pada Disember depan.
Amelina, 44, berkata, dia sendiri tidak mengetahui mengenai gosip tersebut malah memberitahu buat masa ini dia tidak mempunyai calon seperti mana diperkatakan.
"Kahwin bulan Disember? Calon pun tiada macam mana nak kahwin?
"Gosip itu tidak benar malah saya sendiri pun tidak mengetahui mengenainya," kata Amelina.
Amelina pernah menerima trofi Album Pop Tradisional Terbaik (Asyik) pada Anugerah Industri Muzik ke-3 pada 1995.
Amelina sebelum ini pernah berkahwin dengan Reduan Mahmood dan mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur’ Athirah, 17, Putera Al’ Affiq, 16, Putera Al’ Asyraff, 15, Puteri Nur’ Asyurah, 13, Putera Al’ Arffa, 11 dan Putera Al’ Amzar, 8 tahun.
Dalam pada itu, Amelina berkata, buat masa ini dia belum terfikir untuk mencari pasangan hidup kerana tumpuannya adalah untuk mencari rezeki bagi menampung enam orang anaknya.
Katanya, sejak kembali aktif dalam bidang seni empat tahun lalu, kariernya sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti sehingga membuatkan dia tidak mempunyai masa berfikir soal hati dan perasaan.
"Berkawan itu ada tetapi sekadar itu sahaja... Soal kahwin ini bukannya perkara mudah dan saya perlu berfikir tentang banyak perkara.
"Paling utama di sini, ada ke mana-mana lelaki sanggup menerima saya yang mempunyai enam orang anak?
Amelina fokus kepada karier seninya demi menyara enam anaknya.
"Saya tidak fikir tentang kahwin sebenarnya kerana kehidupan saya sekarang pun cukup sibuk mencari rezeki untuk keluarga dan tiada masa tentang perkara lain," jelasnya.
Bagaimanapun kata Amelina, itu bukan petanda dia menutup pintu hatinya sebaliknya percaya jodoh itu di tangan Tuhan.
Malah kata penyanyi lagu Memori Daun Pisang itu, sekiranya benar dia akan berkahwin suatu hari nanti dia tidak akan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum.
Dalam perkembangan lain, Amelina berkata, dia bakal tampil dengan single terbaharunya yang digubahnya sendiri tidak lama lagi.