Ada Dalam Tiada Nora Ariffin akui menangis


Kehilangan seseorang pastinya sangat dirasai. Namun seberat mana pun hidup harus diteruskan. Pun begitu rindu dan ingatan tidak akan pernah padam. Itulah gambaran lagu terbaharu penyanyi Nora Ariffin yang berjudul Ada Dalam Tiada.

Lagu ini merupakan dedikasi teristimewa Nora untuk arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, seorang komposer dan penerbit terkenal yang meninggal dunia pada 24 Mac tahun lalu akibat serangan jantung.

sesuai dengan lagu luahan hatinya sendiri yang menceritakan keperitan dan kesedihannya sebagai seorang isteri yang sentiasa merindui dan mendoakan insan yang pernah berkongsi hidup dengannya selama 25 tahun.

“Ini adalah lagu yang paling peribadi saya pernah nyanyikan sepanjang karier seni saya. Saya mencurahkan sepenuh jiwa dan raga ketika merakamkan lagu ini. Lebih menyedihkan lagi, ini merupakan pertama kali juga saya masuk ke studio rakaman tanpa kehadiran arwah suami," katanya.

Arwah Johan merupakan antara insan pertama dalam industri muzik yang membimbing Nora dalam merencana karier seninya sejak awal kemunculannya pada tahun 1994.

Ada Dalam Tiada merupakan hasil ciptaan bersama komposer Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen manakala seni katanya ditulis oleh penulis lirik tersohor Habsah Hassan.

“Sebenarnya saya sendiri sukar untuk menjelaskan dengan kata-kata apa yang saya rasa selama ini. Tetapi Habsah Hassan bukan sahaja dapat menterjemahkan perasaan saya dengan begitu baik sekali malah ia dilakukan dalam bentuk seni kata yang indah.

"Saya turut menangis bila pertama kali saya membaca lirik tersebut," katanya.

Lagu ini dimuatkan di dalam album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi yang memuatkan lagu-lagu popular Allahyarham seperti Bidadari, Warna, Jentayu, Menanti, Debaran, Gemilang, Bintang Malam dan banyak lagi.





Tunai impian arwah suami

Album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi ini merupakan idea dari Allahyarham Johan Nawawi sendiri pada tahun 2016. Oleh itu, Nora terpanggil untuk melunaskan impian Allahyarham yang tidak kesampaian.

Album ini sangat dekat di hati Nora kerana Lagu Bidadari adalah lagu terakhir ciptaan dan nyanyian solo Allahyarham sendiri, iaitu dua bulan sebelum beliau meninggal dunia.

Selain itu, Allahyarham berhasrat supaya Nora merakamkan semula lagu Hanya Satu yang juga dimuatkan di dalam album ini dengan susunan muzik yang baru oleh Mac Chew.

Album ini merupakan impian Allahyarham sendiri untuk menjadikan sebuah naskhah kompilasi lagu-lagu ciptaan beliau.

Paling istimewa, lagu Perasaanku yang dinyanyikan oleh Azman Abu Hassan digubah semula dan diberi tajuk baharu iaitu Perasaanku 2017 yang dinyanyikan semula oleh rakan-rakan serta adik beradik Allahyarham Johan sendiri.

31 lagu-lagu ini dipilih sendiri oleh Nora dan dikemukakan kepada Warner Music Malaysia berdasarkan lagu-lagu yang hit dan sinonim dengan Johan Nawawi.

Album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi ini merupakan kesinambungan dari Album Jentayu terbitan Warner Music Malaysia.

Album ini juga bertujuan untuk menyambung legasi Johan Nawawi kepada generasi muda dan boleh dijadikan sebagai sumber rujukan buat komposer dan penerbit baharu.

Johan Nawawi adalah antara komposer tersohor di tanah air, di mana ramai artis ternama tidak kira sama ada di Malaysia atau Indonesia pernah bekerjasama dengan beliau. Antaranya adalah Datu Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Kris Dayanti, Liza Hanim, Aisyah, Anita Sarawak, Dayang Nurfaizah dan Nora sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post