Ketabahan Noorkhiriah


Kemunculannya menerusi drama berjudul Nur yang disiarkan sepanjang Ramadan lalu berjaya menambat hati penonton apatah lagi buat pengikut karya seninya yang sememangnya merindui lakonan pemilik nama Noorkhiriah Ahmad Shapie atau lebih dikenali dengan Noorkhiriah yang menelan hampir dua dasawarsa.

Memegang watak sebagai Aishah, seorang wanita bertudung labuh tetapi mempunyai hati yang ‘busuk’ sememangnya menjadi bualan ramai.

Apatah lagi ada babak menarik terutamanya membabitkan sup bunjut yang dikatakan sebagai amalan sihir memang menjadi tular di laman sosial sehingga membuatkan ramai terkesan dengan penangannya.

Bertemu dengan Noorkhiriah pada petang nan indah baru-baru ini, mulutnya tidak lekang daripada mengucapkan alhamdulillah dan terima kasih saat ramai yang memuji drama berkenaan serta lakonannya.

“Kami, pelakon Nur menjalani penggambaran seperti biasa dan saya sendiri tidak menjangkakan drama ini begitu terkesan di hati peminat.

“Bagi saya, drama ini berjaya kerana kerjasama semua baik pelakon, kru dan pengarah,” ujarnya yang menganggap drama Nur telah membuka mata ramai pihak dalam industri tentang keberadaannya yang kembali aktif dalam dunia lakonan setelah mengambil keputusan untuk meletakkan tanda noktah kepada bidang seni pada 2016.

Dia aktif berlakon semula pada tahun lalu.

Penangan Nur

Cerita Noorkhiriah, selepas setahun berhenti, dia kembali menyerikan dunia hiburan dan ada menerima tawaran berlakon, namun ia tidaklah sehebat penangan drama Nur.

“Saya kembali aktif apabila bersetuju menjadi pengacara untuk sebuah program masakan. Pada ketika itu, saya terlibat dengan beberapa drama, namun orang kurang nampak kewujudan saya kerana memegang watak biasa-biasa sahaja sehinggalah kemunculan dalam drama Nur.

“Alhamdulillah, selepas drama Nur, tawaran tetap ada, sampailah sekarang. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pengarah, Shahrulezad Mohameddin kerana memberi peluang kepada saya berlakon dalam drama berkenaan,” ceritanya.

Menurutnya lagi, kini dia sedang menjalani penggambaran bagi telemovie untuk RTM, salah satu daripadanya berjudul Kuih Bulan Kuih Rendang. Selain itu, dia juga terlibat dengan sitkom dengan TV3.





Restu suami

Tiada apa yang paling bahagia apabila setiap apa yang kita lakukan diiringi restu suami.

Noorkhiriah cukup bertuah apabila suaminya, Azfaizul Ahtan memberi keizinan untuk dirinya berlakon semula.

“Suami memberi keizinan dan membenarkan saya untuk menjalani penggambaran. Lagipun anak-anak kami sudah bersekolah.

“Seandainya suami tidak mengizinkan saya untuk berlakon, memang saya tidak akan kembali ke dunia seni,” katanya sambil memberitahu, kedua-dua cahaya matanya juga amat memahami dan sering bertanya dirinya mengenai set penggambaran.

Menyedari hakikat status yang bergelar isteri dan dengan imej bertudung, wanita berusia 42 tahun itu tahu had dirinya.

“Sukar bagi seorang pelakon untuk memilih watak, umpamanya macam watak yang saya dalam drama Nur. Watak itu susah nak dapat, bukan setahun sekali, empat tahun sekali baru dapat.

“Justeru, saya tidak kisah, yang penting selagi watak itu menjaga imej saya sebagai seorang bertudung. Selain itu, saya juga mengambil kira lokasi bagi sesebuah drama itu akan dilakukan.

“Sekiranya di Kuala Lumpur tiada masalah, namun kalau asyik out station, tidak boleh juga kerana anak-anak bersekolah,” katanya yang sememangnya memberi keutamaan kepada keluarga.

Iktibar

Menyoroti kembali perjalanan karier anak seni yang pernah memenangi Artis Komedi Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2011 ini, ada suka ada duka.

Bagaimanapun, kata ibu kepada dua cahaya mata bernama Muhammad Hudaifah, 9, dan Muhammad Yusoff, 7, itu, kini segala keputusan sama ada mahu meninggalkan kerjaya seni atau tidak, dia tidak akan lagi bersuara seperti sebelum ini.

“Sebenarnya ada kejadian yang mana saya mengambil keputusan untuk berhenti dalam bidang hiburan. Kalau tidak, saya tidak akan semudahnya nak berhenti.

“Sepanjang satu tahun menyepikan diri daripada lapangan hiburan, Allah gantikan rezeki dengan berniaga dan dapat menjaga anak-anak. Bagaimanapun, saya rindu untuk berlakon,” ujarnya mengimbau kembali kenangan dua tahun lalu.

Kata Noorkhiriah, selepas ini apa-apa yang berlaku, dia akan mengambil sikap berdiam diri.

“Andai jadi apa-apa selepas ini, kalau saya nak berhenti daripada bidang lakonan sekalipun, saya tidak akan bercakap lagi.

“Apa yang terjadi sebelum ini, jadi pengajaran buat saya. Kalau engkau marah, jangan buat keputusan, kalau nak berhenti, tidak mengapa, tetapi diam-diam sudah,” ujarnya.

Dua dekad berkecimpung dalam industri sememangnya memberi bayangan jelas darah anak seni dalam diri wanita ini cukup deras.

“Susah untuk kita kata berhenti dalam industri, kalau kita tengok pelakon lama pun, ia akan membawa ke hujung nyawa.

“Selagi kita ada dalam kelompok ini, jangan sesekali kita cakap nak berhenti,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post