Penyampai radio, Zulin Aziz akhirnya meninggalkan Suria FM apabila mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak baharu sebagai penyampai di stesen radio tersebut.
Menurut Zulin yang berkongsi tentang berita tersebut menerusi laman Instagramnya, keputusan itu dilakukan kerana perlu memberi fokus kepada banyak perkara selepas ini.
“Menjadi penyampai @suriamalaysia adalah satu tanggungjawab, pengajaran dan pengalaman yang cukup luar biasa.
“Semua seperti keluarga. Saya rasa istimewa bila bersama mereka apatah lagi berkongsi cerita dengan pendengar-pendengar.
“Tapi terlalu banyak hal yang saya harus fokus selepas ini membuatkan saya mengambil keputusan untuk tidak menyambungnya.
Bagaimanapun, Zulin meminta agar peminat dan pengikutnya untuk terus menyokong Suria FM meskipun dia tidak lagi bersama stesen radio tersebut pada masa akan datang.
“Terus menyokong Suria fm ya? Walau saya bukan lagi penyampai suria tapi mereka tetap di hati saya,” luahnya.
Minggu depan merupakan minggu terkahir buat Zulin atau nama lengkapnya, Farah Azleenda Abd Aziz, 28, bertugas sebagai penyampai di Suria FM.
“Saya nak meluangkan masa sepenuhnya dengan sahabat-sahabat di Suria. Masih tinggal lagi seminggu sebelum saya berhenti.
“Doakan dan terus menyokong karier saya ya? Tidak di radio, tapi masih di TV, masih juga di hatimu ecewah, muah..,” tulisnya.
Penjelasan ini sekali gus menjawab khabar angin tentang perkara ini yang menjadi tanda tanya peminat.
Zulin yang mula menyertai Suria FM pada tahun 2016, mengendalikan segmen Suria Pagi bergandingan dengan Sharifah Shahira dan Fizi Ali, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00-10.00 pagi.