Wani Kayrie nak sambung jurusan perakaunan


Bagi Wani, dia lebih meminati lagu-lagu bergenre balada.

Penyanyi Wani Kayrie ini memulakan karier seninya sejak di bangku sekolah lagi. Bagaimanapun, pelantun lagu Jangan Jangan ini berjaya membuktikan bahawa dia mampu cemerlang dalam pelajaran apabila memperoleh keputusan 7A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Mac lalu.

Jika dahulu dia perlu membahagikan masanya antara pelajaran dan karier nyanyian, kini penyanyi yang menginjak usia 18 tahun ini sudah mampu memberikan fokus kepada bidang seni sepenuh masa. Ini kerana, katanya, dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya tahun depan.
“Sebelum ini saya belajar, jadi memang agak sukar untuk membahagikan masa kerana terikat dengan pembelajaran di sekolah. Bagaimanapun, pada tahun ini banyak perancangan dalam bidang muzik yang mahu saya laksanakan.

“Apapun, pada saya walaupun bergelar penyanyi, pendidikan tetap menjadi keutamaan,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Menurut bekas juara program realiti Kamilah Bintang itu, buat masa ini, dia belum menetapkan lagi institusi pengajian yang ingin disertainya.

“Jika ada rezeki, saya mahu menyambung pengajian dalam bidang perakaunan dan pengurusan perniagaan,” katanya.

Jelas beliau lagi, dia kini dalam proses membuat persediaan untuk mewakili negara ke pertandingan World Championship Of Performing Arts 2018 yang bakal berlangsung bulan depan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Alhamdulillah, enam tahun lepas saya berjaya membawa pulang pingat. Tahun ini, sekali lagi saya berpeluang mewakili negara ke pertandingan tersebut,” kongsi pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah itu.





Bukan itu sahaja, katanya, dia juga akan menyertai program realiti D’Academy Asia di Indonesia pada penghujung tahun nanti. Justeru, katanya, atas alasan ini jugalah dia terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk menyambung pelajaran.

“Kalau ikutkan minat, saya lebih kepada muzik balada. Bagaimanapun, saya layan juga lagu-lagu dangdut. Cumanya, genre dangdut itu luas. Kalau terfikir dangdut, kita teringat lagu-lagu nyanyian Inul Daratista. Sebaliknya, saya sukakan bunyian seperti dangdut Jawa,” katanya yang tidak kisah jika dilabel sebagai penyanyi dangdut.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia dalam proses untuk menyiapkan material baharu sebagai buah tangan selepas lebih kurang setahun tidak muncul dengan lagu baharu.

“Tahun lepas saya keluar dengan single Aku Suka Kamu. Sayangnya, saya sibuk dengan peperiksaan SPM pada masa itu, jadi agak perlahan promosinya,” kata Wani menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post