Risteena Munim, Ain Edruce minat bisnes kosmetik


Tidak dinafikan, kontroversi kadang-kala memberikan impak yang cukup besar kepada anak seni.

Sama ada ia membantu memacu perkembangan kerjaya ataupun meninggalkan tompok hitam, itu persoalan kedua.
Apa yang pasti mereka yang dihimpit kontroversi terus-menerus menjadi siulan pengikut industri tanah air hingga secara tidak langsung diiringi populariti.

Namun, pendirian dua anak seni bernama Risteena Munim dan Ain Edruce harus dipuji.

Meletakkan bakat di tangga pertama berbanding kontroversi dan populariti sudah cukup memberi bayangan jelas mereka sememangnya mempunyai kualiti tersendiri.

Pelakon jelita Risteena berpendapat, populariti adalah perkara kedua bagi dirinya.

“Bagi saya, populariti adalah nombor dua. Apa yang saya pentingkan adalah bakat dan personaliti.

“Untuk apa kita popular tetapi tiada job. Baik job bersusun, populariti akan datang sendiri dengan bakat yang ditonjolkan,” ujarnya.

Tambahnya, kontroversi kadang-kadang menaikkan nama seseorang dan juga boleh menjatuhkan nama seseorang artis.

“Saya lebih suka low profile. Tak perlu kejar kontroversi semata-mata untuk glamor. Populariti itu penting tetapi janganlah terlalu mengejar sehingga melampaui batas,” tegasnya.





Senada dengan Risteena, pengacara dan pelakon, Ain juga tidak menafikan kontroversi boleh untuk menaikkan nama seseorang anak seni.

“Sebenarnya, kita tidak boleh tipu, kontroversi penting untuk naikkan nama tetapi saya tidak mahu naik dengan kontroversi yang tidak elok.

“Saya rasa kontroversi seperti mengutuk misalnya bukanlah sesuatu yang sihat dan Ain tidak mahu begitu. Lagipun, aktiviti seni saya dipantau oleh ibu bapa,” jelasnya.

Soal hati
Mahu menyelami isi hati dua figura ini, persoalan tentang hati menjadi topik kedua untuk dititipkan kepada pemilik nama penuh Nur Risteena Munim Zainul Ilyas dan Nurulain Edruce ini.

“Saya dalam proses mengenali hati budi tetapi biarlah perkara ini kekal sebagai privasi dulu sehingga tiba masa yang sesuai, saya pasti akan kongsi dengan semua.

“Saya tidak mahu bercerita tentang perkara yang belum tentu terjadi. “Buat masa sekarang, saya lebih fokus pada kerjaya dan bisnes,” ujar Risteena mengunci mulut.

Sedikit berbeza dengan pengakuan terbuka Ain yang mana mengakui sedang mengenali dengan seorang jejaka yang lebih muda daripadanya yang mana menggelarkan lelaki berkenaan sebagai A.

“Alhamdulillah, saya ada mengenali hati budi seorang jejaka dan dia bukan daripada industri hiburan,” ujarnya yang mengenali lelaki berkenaan menerusi laman sosial, Instagram.

Ditanya mengenai harapan terhadap perhubungan itu, Ain bijak mengatur satu persatu penjelasan.

“Ain sudah berumur 27, sudah ‘penat’ dengan perhubungan yang putus di tengah jalan.

“Saya pun macam sudah bersedia untuk ke fasa seterusnya tetapi tidak mahu terlalu teruja kerana hubungan masih lagi baru,” ujarnya yang mengharapkan doa terbaik daripada semua.

Bisnes
Beralih pula ke bidang yang lain, Risteena memberitahu, dia bakal memiliki bisnes sendiri tidak lama lagi.

“Buat masa sekarang, saya merancang untuk menjalankan perniagaan kosmetik dan produk penjagaan kulit di bawah jenama saya sendiri. Saya bercadang untuk memulakan perniagaan dengan menjual Matte Lipstick.

“Insya-Allah, selepas raya, dalam bulan Ogos saya akan mula berniaga produk sendiri,” ujarnya yang juga merupakan duta untuk produk kecantikan dan kesihatan, Cantik Dara.

Tambah gadis jelita ini, kemungkinan selepas ini apabila sudah memiliki bisnes sendiri, aktiviti seninya terpaksa dikurangkan.

“Saya tak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia hiburan. Cuma mungkin terpaksa dikurangkan oleh kerana komitmen lain,” akuinya yang turut meminati bisnes butik selain kosmetik.

Soalan serupa diajukan kepada Ain, pelakon yang membintangi telefilem komedi, Raya Timah dan Raya Tina.

“Alhamdulillah, bisnes kosmetik saya sendiri, Maebeaut yang terdapat gincu dan countour berjalan dengan lancar.

“Insya-Allah, saya dah target, kalau saya sudah tidak buat lagi apa yang saya buat dalam industri seperti sebelum ini, saya akan fokus terhadap bisnes.

“Sekarang kakak saya yang menguruskannya seratus peratus,” kongsinya yang berhasrat akan mengeluarkan warna-warna baru untuk produk kosmetiknya selepas ini.

Raya
Bercakap mengenai sambutan hari raya baru-baru ini, Risteena memberitahu, dia dan keluarganya telah meraikan hari raya pertama di Singapura.

“Pada hari raya pertama baru-baru ini, saya telah beraya di Singapura atas urusan kerja iaitu mengendalikan booth Cantik Dara di sana sehingga malam raya.

“Selepas itu, barulah kami sekeluarga balik ke Pulau Pinang.

“Mereka (keluarga) menemani saya dan menyambut hari raya bersama-sama di Singapura,” katanya.

Ain yang juga merupakan hos Pop Express pula bercerita, rayanya pada tahun ni sedikit berbeza.

“Pada tahun ini, saya beraya di Kuching, Sarawak, namun tahun ini, terdapat sedikit kelainan kerana nenek saya baru sahaja meninggal dunia tiga bulan lepas.

“Ia berbeza kerana setiap tahun, apabila tibanya raya, nenek akan memasak makanan yang enak.

“Lagipun bila raya, mesti akan pulang ke kampung untuk berjumpa dengan nenek. Namun, kini nenek tiada lagi,” ujarnya yang mempunyai 15 pasang busana raya.

Post a Comment

Previous Post Next Post