Nikmat raya Izzue Islam, Erwin Dawson


Biarpun tidak pernah digandingkan bersama dalam mana-mana drama, namun kedua-dua artis ini cepat mesra seolah-olah pernah berlakon bersama sebelum ini.

Jika kemeriahan menyambut lebaran semakin terhakis di hati anak-anak muda, namun itu tidak dirasai oleh Izzue Islam dan Erwin Dawson.

Bagi dua pelakon berbakat itu, Aidilfitri memberi kemanisan tersendiri buat mereka.

Pertembungan pendapat itu disalurkan mereka dalam ruangan Kopitiam minggu ini.

Biarpun kedua-dua pelakon itu tidak pernah disandingkan dalam mana-mana drama, namun baik Izzue mahupun Erwin, mereka bersyukur menjadi salah satu daripada barisan duta Syukur Selalu, Media Prima.

Sensasi Bintang: Boleh kongsikan penglibatan kalian sebagai duta Syukur Selalu?

IZZUE: Alhamdulillah, ini kali kedua saya dilantik menjadi duta Ramadan dan raya, Media Prima. Saya bersyukur dengan pelantikan itu dan akan menggalas tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

ERWIN: Ini adalah pengalaman kali pertama saya dilantik sebagai duta untuk raya. Tahun ini memang rasa bersyukur dan berterima kasih dengan Media Prima Berhad sebab penglibatan saya dari segi lakonan drama dan hos program Feel Good Show memang dengan Media Prima dari awal tahun. Malah, untuk filem Pulang yang akan ditayangkan di pawagam pada Julai nanti juga adalah terbitan Grand Brilliance di bawah Media Prima.

Jadi, apakah tugas kalian sebagai duta?

IZZUE: Saya melakukan aktiviti amal di beberapa lokasi. Salah satu daripadanya, saya dan duta-duta lain pergi ke rumah anak-anak yatim Che Bema di Sungai Petani, Kedah dan melakukan aktiviti gotong-royong sambil beramah mesra dengan mereka. Selain itu, kami juga ada ke bazar Ramadan dan menjual juadah berbuka puasa. Hasil kutipan jualan juadah kami salurkan ke rumah anak yatim.

ERWIN: Selain menghadiri sidang akhbar Ramadan dan raya, saya juga kena mempromosikan siaran-siaran raya, buat fotoshoot dan kempen menerusi video.

Boleh kongsikan sambutan Aidilfitri kalian pada tahun ini?

IZZUE: Seperti biasa, saya akan beraya di Klang, Selangor dahulu dan pada raya ketiga baru balik Kelantan. Disebabkan ada komitmen shooting selepas raya, saya cuma dapat cuti raya seminggu sahaja.

ERWIN: Tiap-tiap tahun rutin raya saya sama sahaja. Dua malam sebelum raya saya sudah balik ke Singapura. Jadi, sempatlah saya ke salah satu bazar terbesar dan terkenal di Singapura iaitu Bazar Geylang Serai Ramadan. Raya pula momen paling menyeronokkan apabila dapat menikmati masakan emak seperti lontong yang dimakan bersama dengan sambal udang, kuah kacang, rendang daging atau ayam. Setiap kali raya menu ini yang dimasak emak. Maka, kalau tak ada salah satu rasa pelik.





Mungkin ada sebarang kenangan sehingga ke hari ini kalian masih ingat. Boleh kongsikan?

IZZUE: Paling indah, apabila saya dapat beraya sebagai suami buat kali pertama. Masa itu saya dapat menikmati sambutan raya di dua tempat iaitu dengan famili isteri dan juga famili Izzue di Kelantan.

ERWIN: Bagi saya, raya paling meriah ketika arwah atok masih hidup. Bayangkan sembilan orang anaknya termasuk cucu-cucu akan berkumpul satu rumah untuk meraikan Aidilfitri. Atok pula seorang yang ceria. Namun, sejak atok meninggal dunia 10 tahun lalu, kemeriahan seperti itu tidak lagi dirasai.

Boleh kongsikan projek seni yang sedang atau akan diusahakan kalian?

IZZUE: Saya terlibat dalam beberapa buah telemovie dan program untuk raya tahun ini. Antara cerita lakonan saya yang ditayangkan ketika raya adalah Din Sardin Beraya, Selirat, Kampung Matilahnak dan Jangan Benci Cintaku. Sementara itu, untuk program pula, saya terlibat dalam Maid Raya, Pop Rumble, Feel Good Show Raya dan Bernama Raya.

ERWIN: Ketika ini saya masih menyudahkan penggambaran drama Nafas. Saya juga perlu bersiaran secara langsung menerusi program NTV7, Feel Good Show. Pada masa sama, saya dalam rangka promosi filem Pulang.

Beralih pada soalan lain pula. Izzue baru-baru ini dilanda gosip hebat apabila seorang individu mendakwa Awin membomohkan Izzue. Apakah komen Izzue mengenai hal itu?

IZZUE: Sudah tentu tuduhan itu tidak masuk akal. Rasa kelakarpun ada. Bagaimanapun, saya tidak mahu panjangkan isu tersebut. Hakikatnya, saya yang bomoh isteri saya (ketawa).

Soalan untuk Erwin pula, sebelum ini hangat seketika kisah awak yang bakal berkahwin dengan kekasih Julia. Boleh komen isu tersebut?

ERWIN: Saya terkejut juga cerita itu boleh tular. Hakikatnya, saya dan penulis yang menulis tentang itu hanya berbual kosong. Tak sangka pula dia mahu menulisnya. Memang ada perancangan ke arah itu tetapi banyak hal yang perlu diuruskan termasuk mengumpul maklumat mengenai hal rakyat Singapura yang ingin berkahwin dengan rakyat Malaysia. Insya-Allah, jika tiada aral melintang kemungkinan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post