Siti Sarah menjelaskan lelaki dalam video yang dimuat naik adalah bapanya sendiri, Raissuddin Hamzah.
Gara-gara tidak membeli barang yang dijual seorang lelaki dalam sebuah video yang dimuat naik pada Rabu, penyanyi Siti Sarah menerima kecaman netizen.
Bagaimanapun, Sarah menjelaskan video berkenaan hanyalah sekadar gurauan, manakala lelaki tua itu ialah bapa kandungnya iaitu Raissuddin Hamzah.
"Lelaki ini Raissuddin Hamzah. Dia bapa kandung saya, kami hanya bergurau. Dari video ini sebenarnya apa yang kita lihat dia sangat sporting melayan karenah anak-anak yang suka bergurau.
"Nak dijadikan cerita ada pihak yang kata saya biadap sebab tak beli barang pakcik ini," ujarnya di Instagram.
Sarah mengulas berkenaan video yang dimuat naik di Instagram pada Rabu telah disalah anggap oleh netizen.
Penyanyi lagu Kesetiaan ini dikatakan bersikap biadap kerana tidak membeli barang-barang yang dijual oleh lelaki berkenaan.
Dalam pada itu, Sarah menasihatkan agar netizen mengkaji terlebih dahulu sesuatu perkara sebelum bertindak meninggalkan komen negatif.
"Kenapa la suka sangat nak keji caci orang tanpa usul periksa. Semoga Allah permudahkan hidup kalian amin," ujarnya.
Sementara itu, menjawab komen salah seorang pengikutnya, Sarah berkata, dia berasa sedih dengan komen negatif netizen sehingga terfikir untuk menutup akaun tersebut.