Dayangku Intan berharap dapat mendermakan buah pinggang kepada suaminya.
Penyanyi era 90an, Dayangku Intan berharap hasrat untuk mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada suami, Rosman Yahil dapat dilaksanakan.
Dayang yang popular dengan lagu Raya berjudul Senandung Hari Raya Untukmu ini berkata, keputusan sama ada buah pinggangnya itu sesuai atau tidak dipindahkan kepada suaminya akan diketahui pada Jumaat ini.
"Banyak proses dan ujian sama ada buah pinggang saya sesuai atau tidak untuk didermakan kepada suami. Sekarang dalam proses akhir dan InsyaAllah diketahui pada Jumaat ini.
"Saya berharap sangat semuanya berjalan lancar kerana tidak sanggup melihat dia menderita dan menjalani rawatan dialisis," ujarnya kepada mStar Online.
Rosman, 56, yang mengalami masalah pada kedua-dua belah pinggangnya kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas dipindahkan dari Hospital Serdang Ahad lalu.
Dayang dan anak-anak bersedia derma buah pinggang.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga 34 tahun lalu dan dikurniakan empat cahaya mata.
Dalam pada itu, Dayang berkata, apa yang dilakukan itu tidak boleh dianggap pengorbanan yang besar untuk suaminya.
Sebaliknya, ia lebih kepada rasa tanggungjawab seorang isteri yang mahu terus bersama pasangannya hingga ke akhir hayat.
"Saya menolak jika ada orang kata ia sebagai satu pengorbanan besar buat suami kerana bagi saya ia adalah sesuatu perkara biasa dilakukan seorang isteri yang mahu terus hidup bersama-sama suaminya.
"Hidup saya tidak akan sempurna kalau dia sakit begini, dia adalah kehidupan saya dan apa salahnya jika kami berkongsi buah pinggang," ujarnya.
Dayang berkata, bukan dia sahaja, malah anak-anaknya juga rela untuk menderma buah pinggang sekiranya buah pinggangnya tidak sesuai.
Katanya, kesukaran pesakit buah pinggang untuk mendapatkan penderma juga membuatkan dia terpanggil untuk mencetuskan kesedaran menderma buah pinggang.
"Pesakit buah pinggang hanya ada dua rawatan iaitu dialisis dan penderma, tapi untuk dapatkan penderma perlu menunggu giliran dan mungkin ambil masa bertahun-tahun.
"Saya mahu orang ramai sedar dan ambil tanggungjawab itu untuk berkongsi buah pinggang mereka sendiri dengan orang yang mereka sayang.
"Sebenarnya tiada apa-apa kesan yang menyebabkan penderma sakit selepas mendermakan buah pinggang mereka. Mereka masih boleh hidup normal dengan sebelah buah pinggang," ujarnya.