"Doakan terbaik untuk saya," kata penyanyi Siti Sarah Raissuddin mengenai imej terbaharunya tampil berhijab selepas pulang mengerjakan ibadah umrah, baru-baru ini.
Sarah bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana menganggap ia bukan sesuatu yang perlu diuar-uarkan.
"Bagi saya, memakai tudung bukan perkara yang perlu saya umumkan. Biarlah saya mengikut saja aturan yang Tuhan tetapkan," katanya.
Gambar Sarah tampil berhijab selepas kembali dari Tanah Suci di laman Instagram menarik perhatian netizen hingga ramai pihak mendoakan agar penyanyi itu terus istiqamah.
Malah Sarah yang hadir ketika majlis berbuka puasa Indigital dan LOL Entertainment, semalam turut mengejutkan tetamu yang hadir termasuk dalam kalangan artis.
Menurut Sarah, dia menjadikan tiga selebriti iaitu Rozita Che Wan, Neelofa dan Nabila Razali sebagai rujukan selain tertarik dengan gaya artis terbabit mengenakan hijab.
"Saya selalu melihat gaya mereka mengenakan hijab di Instagram. Tiga artis terbabit bijak menyesuaikan padanan warna hijab dengan busana dipakai serta gaya mereka mengenakan hijab.
"Justeru saya mengambil gaya diserlahkan mereka sebagai rujukan dalam memakai tudung," katanya.