Rozita Che Wan lega


Pelakon, Rozita Che Wan menyambut baik inisiatif kerajaan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) sebagai langkah menangani hutang negara.

Rozita atau mesra disapa Che Ta, 45, berkata, dia bersama ahli keluarganya akan mengumpul duit untuk menderma ke tabung berkenaan namun enggan mendedahkan jumlah disumbangkan.

“Sebagai rakyat Malaysia, jangan sesekali kita anggap tabung itu satu beban atau paksaan tetapi rasa tanggungjawab untuk sama-sama membantu mengurangkan beban hutang negara.

“Bayangkan kalau seorang rakyat Malaysia menyumbang RM10, sudah mampu mengurangkan berjuta ringgit hutang ditanggung kerajaan.

“Saya akan kumpul duit ahli keluarga yang ingin menyumbang dan salurkan ke tabung itu. Usaha ini sebagai tanda sokongan saya kepada Malaysia," katanya.

Setakat petang ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kutipan derma THM dilancar kerajaan sejak kelmarin sudah mencecah sebanyak RM18.6 juta.

Selain gembira, Che Ta turut menghela nafas lega dengan penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula hari ini.

“Ia berita melegakan ramai pihak. Saya yakin ramai menyambut baik berita itu kerana selama ini kita dibebani dengan cukai GST khususnya ahi perniagaan dan pengguna.

"Saya ada tiga syarikat dan bila GST dihapuskan, saya rasa sangat seronok. Sudahlah terbeban cukai pendapatan ditambah pula GST, cukup memberi kesan kepada rakyat. Semua orang akan berasa lega sebab sudah kurang satu cukai. Walaupun bersifat sementara tetapi membuatkan kita rasa boleh bernafas sikit," katanya.





Che Ta mengakui perubahan tampuk kepimpinan kerajaan baru memberinya lebih ruang dan hak bersuara.

Pada masa sama, Che Ta turut menyambut baik pelawaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk bertemu penggiat seni minggu hadapan bagi membincangkan isu mengenai industri seni.

"Insya-Allah saya akan pergi ke sesi taklimat itu untuk mendengar apa akan diperkatakan menteri. Kita nak tahu apa yang kementerian akan bantu penggiat seni. Lagipun saya kini banyak membabitkan diri dalam kerja belakang tabir.

“Sebelum ini saya pernah dipulaukan agensi kerajaan hanya kerana saya memuat naik gambar dan ucapan hari jadi kepada Dr Mahathir di Instagram.

"Saya harap ada peluang untuk saya (terbitkan kandungan) di RTM selepas hampir tiga tahun produk saya diketepikan dan digam oleh sesetengah pihak.

"Saya tidak mengharapkan apa-apa jawatan dalam industri seni. Cuma saya berharap ada pembelaan dan harapan baru kepada anak seni untuk meneruskan kehidupan dalam bidang ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post