Penyanyi lagu Hilang, Irfan Haris mengakui bimbang dengan penerimaan peminat terhadap konsep lagu baharu yang bakal dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.
Tampil dengan genre berbeza, Irfan bagaimanapun tetap dengan keputusan memilih konsep lagu rancak bagi menyerlahkan lagi bakatnya sebagai penyanyi.
"Untuk single ketiga, saya akan muncul dengan lagu yang lebih rancak. Saya ingin mencuba sesuatu yang baharu walaupun lagu sebelum ini lebih ke arah 'jiwang'.
"Sejujurnya, saya memang risau dengan penerimaan peminat kerana kali ini membawakan genre berbeza. Seandainya percubaan ini tidak berjaya, saya akan kembali pada genre yang saya bawakan sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun, Irfan enggan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai lagu berkenaan. Dia mahu menjadikan single ketiga itu sebagai kejutan buat peminat.
“Lagu itu akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti. Saya mahu lagu ini menjadi kejutan buat peminat. Tambahan pula ia masih dalam proses pembikinan,” katanya.
Adik kepada penyanyi Amira Othman ini terlebih dahulu dikenali menerusi single Pesan, lagu ciptaan Haqiem Rusli dan lirik ditulis oleh dirinya sendiri serta Ippo Hafiz.