Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyuarakan perasaan bersyukur dan gembiranya atas perubahan pentadbiran kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hal itu turut dirasai apabila kerajaan mengumumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan kepada kadar kosong peratus.
“Ia sesuatu yang sangat menggembirakan buat semua rakyat Malaysia terutama apabila kadar GST disifarkan kerana ironi, semua orang akan menerima kesan positifnya. Pengumuman itu banyak membantu rakyat termasuk para usahawan seperti saya,” ujarnya.
Tambah Siti, kegembiraan itu turut disertakan dengan beberapa harapan demi memastikan industri hiburan tanah air turut sama diberi kesempatan merasai pembaharuan.
Jelas pelantun lagu Comel Pipi Merah itu, beliau mencadangkan agar sebuah badan dan pusat sehenti diwujudkan di negara ini demi menaik taraf industri seni selain kebajikan artis turut terjamin.
“Sebagai sebahagian daripada industri, saya juga mahukan perkembangan yang baik untuk anak seni terutama dari segi kebajikan. Selain mencadangkan akta yang berkaitan, saya berharap kerajaan dapat membuka sebuah pusat sebagai tempat kami mendapatkan sebarang perkhidmatan atau menyuarakan masalah.
“Pada masa sama, saya memandang cadangan penubuhan pusat ini sebahagian daripada bantuan yang sangat besar kepada anak seni memandangkan kami semuanya bekerja sendiri. Sebab itu kami memerlukan sebuah badan atau pusat sehenti untuk memantau dan membantu dari pelbagai aspek,” jelasnya.
Terjamin
Tambah penyanyi berusia 38 tahun itu lagi, beliau melihat penubuhan pusat tersebut sebagai platform terbaik untuk anak seni berkumpul selain dapat bertukar idea tentang pembangunan masa depan industri.
“Biarlah badan ini nanti diuruskan oleh orang industri dan tiada kepentingan politik dengan mana-mana pihak.
“Saya sendiri pun tidak mahu terikat dengan apa-apa jawatan jika diminta. Cuma, kalau sekadar mahu minta sebarang idea atau pendapat daripada saya, itu tiada masalah. Pendek kata, kalau diminta jadi penasihat, itu saya okey,” katanya.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran program Skuad Selebriti Shopee di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.
Pada majlis itu, platform beli-belah Shopee memperkenalkan program Skuad Selebriti Shopee dengan membawa masuk enam produk daripada barisan artis terkemuka seperti Nora Danish, Izara Aishah, Heliza Helmi, Elfira Loy dan Emma Maembong.
Inisiatif itu dilakukan Shopee demi memberi peluang kepada peminat untuk mendapatkan produk artis kesayangan mereka selain menyokong usaha selebriti yang semakin ramai berkecimpung dalam bidang perniagaan.
“Alhamdulillah, saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Shopee. Saya melihat ia sebagai satu pencapaian untuk produk SimplySiti selain dapat meluaskan pasarannya melalui platform e-dagang ini.
“Pada masa sama, saya memandang inisiatif ini sangat berbaloi untuk para selebriti yang mempunyai perniagaan kerana dapat memperkenalkan jenama mereka dengan lebih dekat kepada peminat dan pengguna,” tutupnya.