
Jika diimbas semula, setahun yang lalu pelakon Shukri Yahaya pernah mengalami nasib buruk yang hampir sama menimpa hero drama Nur, iaitu Syafiq Kyle.
Justeru itu, teraju utama hero drama Andainya Takdir ini berkata, dia lebih berhati-hati agar sejarah hitam tidak berulang kembali.
"Bila terdengar berhubung isu baru-baru ini, perkara hampir sama pernah terjadi kepada diri saya di bulan Ramadan juga.
"Jadi, sedikit sebanyak saya rasa apa yang dia (Syafiq) rasa. Saya akui perkara itu mematangkan saya.
"Selepas kejadian itu, saya lebih berhati-hati sampai tahap 200%. Takut ia terjadi lagi sebab saya ada keluarga, isteri dan anak," ujarnya.
Terdahulu aktor ini terpalit dengan kontroversi mengaitkan namanya dengan seorang wanita yang mendakwa dia sering diganggu dengan mesej tidak senonoh dikirim oleh Shukri menerusi aplikasi WeChat.
Dakwa wanita itu lagi, Shukri, 29, pernah memintanya menghantar gambar aset peribadinya selain pernah berhubung melalui panggilan video.
Bagaimanapun, pemenang Anugerah Antagonis Pilihan DFKL2018 ini menafikan semua dakwaan terbabit dan menuduh wanita berkenaan sengaja ingin mencari publisiti murahan.
Sekitar pertengahan Mei lalu, tular video panas di media sosial memaparkan wajah lelaki mirip Syafiq dengan seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Mira.