Shukri Yahaya tak letak harapan tinggi


Pertengahan tahun lalu, drama Andainya Takdir lakonan Shukri Yahaya dan Nina Iskandar yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam menerusi slot Samarinda telah meniti di bibir pengikut drama tempatan.

Masakan tidak, barisan pelakon yang bijak memainkan peranan dalam menghidupkan roh setiap watak telah membuatkan para penonton berasa begitu emosi, kasihan, malah begitu marah setiap kali menonton terutamanya watak Airil yang digalas Shukri.

Namun, adakah sambungan drama berkenaan yang berjudul Andainya Takdir 2 yang bakal ditayangkan bermula 13 Jun ini pada setiap Rabu hingga Jumaat pukul 9 malam di TV3 menjadi fenomena serupa dan mendapat lebih jutaan tontonan seperti mana musim pertama sebelum ini.

Apa pun, sebagai salah seorang tunjang utama, Shukri yang ditemui pada sebuah majlis di ibu negara baru-baru ini tidak meletakkan harapan tinggi saat ditanya mengenai harapan terhadap drama berkenaan.

“Sebelum ini, kita sedia maklum Andainya Takdir merupakan sebuah drama yang mendapat tontonan tinggi dan menerima maklum balas yang baik untuk yang kedua, kita sasarkan ia akan menjadi lebih baik.

“Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan artis lain (pelakon) sudah beri yang terbaik bagi menjayakan setiap watak yang diberikan agar Andainya Takdir 2 menjadi salah satu drama yang terus diminati dan mencetuskan fenomena tersendiri,” katanya.





Bagi yang samar-samar dengan inti pati Andainya Takdir musim pertama, ia mengisahkan ketabahan seorang isteri bernama Fatihah (lakonan Nina) dalam mempertahankan rumah tangga-nya bersama suami Airil.

Kehidupan pasangan suami isteri dengan seorang anak perempuan bernama Aleeya (lakonan Puteri Balqis) itu sentiasa dalam keadaan genting gara-gara Airil yang panas baran dan cemburu buta.

Suami kepada pelakon jelita, Tya Adnan menjelaskan, Andainya Takdir 2 mengisahkan tentang Airil yang cuba memujuk untuk mendapatkan kembali Fatihah setelah mereka bercerai (pada musim pertama).

“Kali ini pelbagai konflik berlaku dan saya rasa, penonton tidak lagi beremosi apabila menonton watak saya, sebaliknya akan berasa marah dengan watak Fatihah.

“Selain itu, terdapat penambahan pelakon bagi menguatkan lagi plot penceritaan,” ujarnya yang sempat memberitahu tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, dia akan bercuti selama dua minggu dan akan beraya di Semenyih, Selangor serta Melaka untuk menziarahi keluarga dan sanak-saudara.

Post a Comment

Previous Post Next Post