
Saban tahun, Hari Lebaran pastinya menjadi waktu yang ditunggu-tunggu untuk diraikan oleh seluruh Muslim di segenap dunia selepas sebulan menahan lapar dan dahaga serta berpuasa pada bulan Ramadan.
Rutin menyambut hari raya juga sudah tentu berbeza buat semua orang. Ada yang menyambutnya penuh kemeriahan dan kemewahan, namun ada pula yang meraikannya dalam bersederhana mengikut kemampuan.
Bercerita pengalaman menjalani sambutan lebaran kali ini, tiga penyanyi muda yang semakin wangi mencipta nama dalam industri hiburan tanah air iaitu Sufian Suhaimi, Ernie Zakri dan Nabila Razali ada kisah menarik untuk dikongsikan bersama pembaca Kosmo!.
Destinasi raya Sufian
TAHUN ini merupakan kali ketiga penyanyi Sufian Suhaimi meraikan Hari Lebaran sebagai selebriti.
Mengakui lebarannya kali ini disambut secara sederhana, ada luahan hati yang sempat dikongsikan pelantun lagu Di Matamu itu yang sepatutnya menyambut raya dengan gelaran suami orang.
Boleh Sufian kongsikan suasana sambutan hari raya pada kali ini?
SUFIAN: Tahun ini seperti biasa saya akan menyambut raya bersama keluarga di Muar dan Mersing, Johor. Muar adalah rumah keluarga sebelah ayah, manakala Mersing pula rumah keluarga sebelah ibu saya.
Sebenarnya saya dilahirkan dan membesar di Mersing. Jadi apabila pulang ke sana, kemeriahannya lebih berbanding di Muar kerana masih ada ramai kawan di sana.
Saya juga sudah mula bekerja pada hari raya ketiga kerana ada undangan persembahan. Selepas selesai kerja, saya terus berangkat ke Perak kerana ada majlis kenduri kahwin dan selepas itu bertolak pula ke Pulau Pinang untuk beraya di rumah saudara-mara di sana. Jadi apa yang boleh saya katakan, lebaran tahun ini meriah dengan aktiviti ke sana ke mari.
Bagaimana pula rutin sambutan lebaran buat anda?
Rutin saya dan keluarga seperti orang lain juga. Setiap pagi Syawal, ahli keluarga lelaki akan ke masjid untuk menunaikan solat hari raya, manakala ahli keluarga perempuan akan sibuk di dapur.
Selepas pulang dari masjid, kami sekeluarga akan melakukan tradisi bersalaman dan meminta maaf sebelum menjamu selera.
Mungkin anda ada sebarang kenangan menarik yang tidak dapat dilupakan setiap kali raya?
Kalau mahu bercakap kenangan hari raya, terlampau banyak terutamanya perkara-perkara nakal yang pernah dilakukan (ketawa).
Contohnya mandi parit dan baju raya terbakar ketika bermain mercun. Selain itu, saya masih ingat pernah mengumpul duit raya sehingga RM400 dan itulah jumlah paling banyak pernah dikutip.
Apabila sudah meningkat dewasa, perkara yang tidak boleh dilupakan adalah menghargai momen beraya bersama keluarga.
Kalau dahulu, arwah datuk dan nenek masih ada. Jadi apabila pulang ke kampung dan rumah mereka, sambutannya berlainan dan cukup seronok. Berbanding sekarang apabila mereka sudah tiada, rasa rindu dan secara tidak langsung keseronokan itu sedikit hilang.
Bagaimana pula dengan busana dan fesyen pilihan anda?
Sudah tentunya saya pilih baju Melayu. Memandangkan saya anak jati Johor, jadi baju Melayu teluk belanga menjadi pilihan utama berbanding cekak musang.
Jujurnya, saya tidak begitu selesa berbaju kurta yang dipadankan dengan seluar jeans.
Sebab dari segi pandangan peribadi, pakaian sebegitu tidak menimbulkan perasaan untuk beraya kerana busana kebangsaan baju Melayu sangat sinonim dengan sambutan lebaran.
Jika diikutkan, tahun ini anda sepatutnya telah beraya sebagai suami orang. Sebelum ini, anda pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu. Jadi apa komen anda?
Memang betul sepatutnya saya berkahwin pada bulan Mac yang lalu tetapi apabila sudah jadi begini (putus tunang), bukanlah bermaksud saya mahu meratapi perkara yang telah terjadi.
Saya sekadar meluahkan perasaan, tetapi saya sebenarnya okey sahaja kerana masih ada keluarga dan rakan-rakan untuk menyambut raya bersama.
Sejujurnya saya juga tidak berasa sedih pun kerana sedar apa yang berlaku itu adalah yang terbaik untuk semua pihak.
Memori Nabila beraya dengan berbasikal
Bagi penyanyi Nabila Razali yang popular dengan lagu Pematah Hati pula, dia tidak pernah lupa tentang kemeriahan dan keseronokan menyambut raya sewaktu kecil bersama rakan-rakan.
Bicara penyanyi berusia 26 tahun itu, hari raya sewaktu kecilnya banyak dihabiskan dengan menjelajah dari rumah ke rumah di sekitar kawasan taman perumahan tempatnya membesar di Batu Caves, Selangor dengan mengayuh basikal untuk mengutip duit raya daripada jiran tetangga.
Boleh Nabila kongsikan rutin dan juadah wajib yang sering dimasak ketika hari raya?
NABILA: Antara juadah wajib air tangan ibu yang mesti ada setiap kali hari raya adalah rendang ayam, soto dan lontong. Tidak lengkap hari raya kalau tiada menu tersebut.
Dari segi persiapan pula, semuanya dilakukan secara sederhana. Ibu saya seorang tukang jahit dan banyak menerima tempahan baju orang. Selalunya dia akan mendahulukan tempahan berbanding untuk keluarga.
Jadi persiapan kami sekeluarga selalunya dilakukan pada saat-saat akhir kerana ibu sangat sibuk.
Namun berbeza dengan tahun ini, saya ada sebanyak 20 pasang baju raya dan semuanya disediakan oleh pihak Prima Valet kerana saya merupakan duta butik berkenaan.
Semua orang mempunyai pengalaman raya yang tidak dapat dilupakan. Bagaimana pula dengan anda?
Sewaktu kecil, saya dan rakan-rakan setaman sangat rajin keluar beraya dan berkunjung ke rumah orang. Berbanding dengan orang lain yang ada antaranya berjalan kaki, kami pula menaiki basikal. Jadi lebih banyak rumah boleh pergi.
Cuma apabila bercakap tentang kenangan yang tidak dapat dilupakan, saya pernah diganggu oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang seronok beraya. Ketika itu saya berumur 12 tahun.
Disebabkan panik, saya terus menjerit sekuat hati dan pulang ke rumah untuk mengadu kepada ibu. Tetapi perasaan takut itu tidak lama, selepas kembali okey, saya sambung beraya kerana raya tetap raya (ketawa).
Apakah sambutan raya bertukar corak selepas anda bergelar artis terkenal?
Pada saya perbezaannya cuma dari segi kemeriahan. Selain dari segi layanan apabila semakin ramai orang mahu bergambar dengan saya, terutama kanak-kanak, sebenarnya raya kali ini lebih kepada keakraban bersama keluarga dan saudara-mara.
Sememangnya, ada antara kita yang jarang berjumpa dengan saudara-mara kerana pelbagai faktor antaranya jarak yang memisahkan. Jadi, hari raya adalah masa untuk saya mengeratkan kembali hubungan bersama mereka.
Ernie luang masa bersama keluarga
BAGI penyanyi Ernie Zakri pula, kesempatan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini digunakan sebaik mungkin untuk meluangkan masa bersama keluarga sepenuhnya kerana sebelum ini jadual hariannya sentiasa sibuk dengan karier.
Di mana Ernie menyambut raya tahun ini dan bagaimana dengan kemeriahannya?
ERNIE: Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya memang beraya di Bangsar, Kuala Lumpur sahaja kerana keluarga besar saya berada di sini. Jadi memang tidak pernah berubah lokasi beraya.
Sambutan raya sama sahaja seperti biasa iaitu dalam keadaan cukup bersederhana.
Cuma tahun ini saya lebihkan masa untuk bersama keluarga kerana sejak setahun lalu, hidup saya hanya dipenuhi dengan tuntutan kerja. Jadi, cuti hari raya tahun ini adalah masa paling bermanfaat untuk diluangkan bersama keluarga.
Seperti Nabila dan Sufian yang mempunyai pengalaman tersendiri ketika beraya, mungkin anda juga memori Aidilfitri yang kekal terpahat di hati mahu dikongsikan dengan peminat?
Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan kenangan saya manis-manis sahaja. Cuma satu memori yang saya tidak dapat lupakan sampai bila-bila iaitu selepas pemergian arwah datuk dan nenek sekitar empat tahun lepas.
Memang benarlah kata orang, jika kita sudah kehilangan ahli keluarga lebih-lebih lagi orang tua seperti ibu bapa dan datuk serta nenek, kemeriahan lebaran pasti akan berkurang.
Bagaimana pula dengan pemilihan busana dan juadah wajib anda setiap kali Aidilfitri?
Selalunya saya memang akan memakai baju kurung, tetapi hanya dari waktu pagi hingga ke tengah hari. Selepas itu saya akan menukarnya dengan pakaian biasa.
Untuk juadah hari raya pula, sudah tentunya rendang daging air tangan ibu. Itu adalah menu wajib yang perlu ada setiap tahun dalam keluarga kami.
Ada sebarang perancangan untuk mengadakan rumah terbuka pada tahun ini?
Setakat ini saya tidak berani mahu bercerita tentang rumah terbuka kerana sebenarnya pada bulan Julai depan, kakak saya akan mendirikan rumah tangga. Sekarang kami sekeluarga sangat sibuk dengan persiapan majlis tersebut. Sebab itu saya tidak terfikir lagi untuk mengadakan sebarang acara rumah terbuka kerana berasakan tidak sempat. Cuma kalau ada rezeki, Insya-Allah saya akan jemput semua. Tetapi semuanya bergantung kepada keadaan.