Cerita Syawal Eyra Hazali, Azrel Ismail & Elisya Sandha


Istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, sengaja Kosmo! menggabungkan tiga pesona seni yang sedang mekar meniti di bibir peminat.

Pertemuan antara Eyra Hazali, Azrel Ismail dan Elisya Sandha yang diatur jauh sehingga ke utara tanah air berlangsung dengan penuh ceria biarpun sesi fotografi yang bermula selepas waktu berbuka puasa tersebut tamat apabila jarum jam tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam.

Teruja berkongsi cerita, dalam kesibukan membina kerjaya sebagai pelakon, namun transisi kehidupan yang dilalui mereka bertiga sedikit pun tidak mengubah tradisi sambutan lebaran.

Kongsi mereka, selain memilih kesederhanaan meraikan hari kemenangan, keutamaan masa bersama keluarga setiap kali Syawal menjelang menjadi rukun nombor satu yang dipegang sejak dahulu hingga sekarang.

Raya tanpa abang, kakak

Memulakan bicara, pelakon yang menarik perhatian menerusi drama rantaian Mr. Grey, Eyra Hazali awal-awal memberitahu dia hanya akan beraya bersama keluarga di Kuala Lumpur.

Kongsi pemilik nama penuh Hazirah Qasdina Hazali itu, sudah empat tahun mereka sekeluarga tidak pulang ke kampung yang terletak di Pulau Pinang.

“Abang saya berada di Jepun, kakak pula bekerja di Genting Highlands. Disebabkan mereka tidak dapat cuti untuk pulang beraya sejak empat tahun lalu, jadi kami menyambut Syawal di Kuala Lumpur sahaja.

“Sambutannya tetap sama saban tahun. Seminggu sebelum raya, kami sekeluarga keluar membeli baju raya dan persiapan lain. Ibu pula akan membuat kuih raya dan menyediakan juadah seperti ketupat dan rendang.

“Soal baju raya pula saya memilih untuk bersederhana memandangkan banyak dapat hadiah daripada peminat.

Bagaimanapun, kami sekeluarga tetap akan memakai tema sedondon pada hari raya pertama,” katanya.

Tertawa mengingatkan kenangan lucu sewaktu Syawal dua tahun lalu, ujar Eyra, disebabkan sukar hendak mengumpulkan semua ahli keluarga, akhirnya pada malam hari raya ketiga baru mereka sempat bersalaman dan mengabadikan potret keluarga.

Bagaimanapun, itu kenangan dua tahun lalu. Kongsi anak kelima daripada lapan adik-beradik itu, pada Syawal kali ini dia berazam untuk kembali meneruskan tradisi bersalam dan bergambar bersama biarpun ahli keluarganya tidak lengkap.

“Selalunya kami akan bersalam dan bergambar keluarga pada hari raya pertama, namun sudah dua tahun tradisi itu tidak dilakukan. Jika difikirkan memang sedih. Dahulu kami selalu meluangkan masa bersama lebih-lebih lagi apabila pulang ke kampung.

“Bagaimanapun, saya harus faham lebih-lebih lagi masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri,” kongsinya tersenyum.





Duit raya Azrel

Lain pula halnya dengan pelakon Cucu Tauke Beras, Azrel Ismail. Lelaki berusia 34 tahun itu pulang beraya di kampung halamannya yang terletak di Taiping, Perak sehari sebelum 1 Syawal.

Tidak bercuti panjang, ujar Azrel, tahun ini ‘poketnya selamat’ apabila dihadiahkan lebih 10 pasang baju raya daripada beberapa pereka fesyen tempatan.

“Alhamdulillah, tahun ini saya tidak perlu membeli baju raya kerana sudah mempunyai tujuh pasang baju Melayu serta samping dan tiga pasang kurta.

“Mereka hadiahkan kepada saya untuk tujuan promosi. Mujur juga keluarga jenis tidak kisah tentang baju raya sedondon, jadi saya bebas memakai apa sahaja warna yang disukai,” kongsinya.

Berkongsi perihal perbezaan raya dahulu dan selepas bergelar pelakon, sambil tersenyum ujar Azrel sambutan Syawal tetap sama seperti dahulu.

“Apa yang membezakan sambutan raya dahulu dengan sekarang adalah setiap kali tetamu datang, mereka pasti akan bercerita tentang drama lakonan saya. Lucu juga apabila mendengar mereka pula yang bertindak sebagai pengulas drama berkenaan.

“Selebihnya masih sama, malah saya juga lebih suka makan ketupat dengan kuah kacang pada hari raya.

Memang juadah itu mudah didapati biarpun bukan pada musim perayaan, namun rasanya tidak sama seperti makan ketika raya,” ujarnya yang bercadang untuk mengadakan majlis rumah terbuka untuk peminat namun tarikhnya belum dapat dipastikan.

Dalam pada itu, ujarnya kenangan raya sewaktu kecil tetap menjadi memori paling menggembirakan. Paling tidak boleh dilupakan, Azrel pernah berjaya mengutip duit raya sehingga ratusan ringgit biarpun beraya di rumah orang yang tidak dikenali.

“Ketika kecil memang saya rajin mengikut rakan-rakan pergi beraya. Tujuan utama kami hanya ingin mengumpul duit raya tanpa memikirkan siapa tuan rumah.

“Waktu itu saya berusia sembilan atau 10 tahun, jadi apabila dapat mengumpul duit raya sehingga RM100 pun rasa sudah cukup banyak,” tuturnya sambil tertawa besar.

Elisya bercuti

Sama seperti Eyra dan Azrel, Elisya juga memilih untuk beraya bersama keluarga setiap tahun. Begitu pun, kelainan lebaran tahun ini wanita berusia 19 tahun itu adalah berpeluang pergi bercuti hari raya ketiga.

Adik kepada pelakon popular Fasha Sandha itu memberitahu, dia dan keluarga hanya akan beraya di Kuala Lumpur kerana kesihatan ibunya yang kurang memberangsangkan.

“Saya sudah meluangkan masa bersama nenek ketika terlibat dengan penggambaran di Kedah baru-baru ini, ibu pula mengalami masalah sakit pada bahagian lutut, jadi kami sekeluarga sepakat untuk beraya di Kuala Lumpur sahaja.

“Bagaimanapun pada hari raya ketiga, kami sempat meluangkan masa bercuti ke Sabah,” katanya.

Beralih tentang pemilihan busana raya, pelakon drama Terbitnya Fajar itu sangat menitikberatkan baju yang bersifat minimalis untuk memudahkan pergerakan.

“Saya dan keluarga memang akan memakai tema sedondon setiap kali hari raya, tetapi baju itu tidaklah terlalu meriah.

“Selalunya seminggu sebelum hari raya baru kami sekeluarga akan keluar membeli-belah menyediakan keperluan bermula dengan pakaian sehinggalah perhiasan rumah,” kongsinya yang mula memberi duit raya kepada ahli keluarga sejak tahun lepas kerana sudah mempunyai karier.

Post a Comment

Previous Post Next Post