Keluarga terkejut Kak Limah bertunang


Pelakon Delimawati atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Limah seperti wataknya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah mengejutkan ramai apabila dikatakan sudah bertunang dengan seorang jejaka yang jauh lebih muda dikenali sebagai Mr. K.

Bahkan akui pelakon berusia 60-an ini, keluarganya juga turut terkejut dan mempersoalkan tindakannya merahsiakan pertunangan.

Bagaimanapun jelas ibu kepada lima orang anak ini, segala majlis pertunangan, pernikahan dan akad nikah itu hanyalah gimik bagi mempromosikan filem terbaharu lakonannya iaitu Hantu Kak Limah.

"Pada awalnya ada ahli keluarga yang percaya dan bertanya mengapa saya rahsiakan pertunangan. Tapi bila dah jelaskan mereka faham.

"Bila dah berusia ni, malu jugalah bila pihak produksi minta saya berarak, bersanding tapi bagi saya, ini sebahagian dari kerja dan komitmen saya.

"Lagipun memang Kak Limah benar-benar berkahwin dengan Mr. K atau Khuda dalam filem ini nanti," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Hantu Kak Limah di Art Hall, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur, petang tadi.

Selain Delimawati, filem tersebut turut dibintagi Datuk Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Datuk Seri Vida, Ropie, Sabri Yunus dan Erra Fazira.





Hantu Kak Limah terbitan Infinitus dan Astro Shaw bakal menemui penonton di pawagam bermula 9 Ogos ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kehidupan peribadinya, Delimawati berkata, dia sudah beberapa tahun bergelar ibu tunggal.

Namun dia tidak menolak sekiranya bertemu jodoh lagi dah berharap mendapat pasangan hidup yang mempunyai pegangan agama yang baik.

"Bila dah tua-tua ni, saya haraplah dapat pasangan yang boleh menjadi peneman ke surau atau masjid, yang boleh membimbing dan membantu serta memperbaiki amalan saya," jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post