Pelawak dan penyampai radio Era, Johan, akhirnya berkongsi berita gembiranya yang baharu sahaja menimang cahaya mata kelimanya yang lahir pada 17 Jun lalu.
Berita tersebut dikongsi Johan menerusi laman Instagramnya yang memaklumkan isterinya, Ozlynn Wati, telah selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.9kg pada raya ketiga dan kini sedang berehat dan menjalani tempoh berpantang.
Tambah Johan, anak dan isterinnya itu kini berada dalam keadaan yang sihat.
“Maafkan kami suami isteri sebab buat semua tertanya-tanya, dah bersalin ke? Alhamdulillah anak selamat dan sihat sama macam mama dia.
“Raya ketiga dia tak mahu juga keluar, jadi kita terpaksa memaksa baby keluar tapi tetap secara normal.
“Jadi sekarang papa nak mama berehat puas-puas memandangkan nanti malam dah mula berjaga untuk baby. Maklumlah kami tiada pembantu. Jadi semuanya buat sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Johan juga menjelaskan, bukan dia dan isteri tidak mahu menerima kunjungan, namun mahu memberikan ruang kepada isteri untuk berehat secukupnya terlebih dahulu.
“Bukan tidak mahu menerima kunjungan, tapi papa bagi mama berehat dulu seminggu dua. Maklumlah nak membiasakan diri kembali dengan baby yang masih fragile. Jadi harap semua faham,” jelasnya.
Menerusi status sama, Johan telah memuat naik video dan foto wajah anak kelima yang juga merupakan puteri keduanya untuk tatapan peminat dan pengikutnya.
“Okay jangan panik tengok video tu, pastinya keselamatan diutamakan. Maklumlah sakit pon tak habis lagi.
“InsyaALLAH bila Ozlynn dah sedia, hangpa boleh mai umahhhh naaa... Ingat!! Jangan berniat untuk ‘kenyam’ anak aku.. aku tau ada yang dah kancing-kancing gigi tengok gambar anak aku,” tulisnya.
Johan dan Ozlynn mendirikan rumah tangga pada 25 Julai 2009 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ariq, Sodiq, Haziq dan Cantiq.