Bella Dally berlapang dada bergelar janda


Emosi Bella masih tidak memahami tindakan Nazim memuat naik gambar terakhir mereka di laman sosial sebelum memutuskan untuk memadamkannya. Dia juga pernah menegur bekas suaminya agar tidak meluahkan emosi atau kisah peribadi menerusi Instagram.

Raut wajah si tinggi lampai, Bella Dally sewaktu menjengah ke Studio Utusan untuk sesi fotografi baru-baru ini seperti langsung tidak menggambarkan situasi dirinya yang baru mengalami episod gelap dalam kehidupan.

Belum genap sebulan sejak bergelar janda selepas keruntuhan rumah tangga bersama aktor, Nazim Othman, 2 Mei lalu, Bella seakan-akan sudah jauh meninggalkan bahagian tersebut pada helaian masa lampaunya.

Jika dilihat pada akaun media sosialnya, perkara sama juga yang terpancar iaitu nilai positif dan ketenangan. Semuanya itu dapat dirasai pada setiap status yang dimuat naik tanpa satu pun menyentuh soal perceraiannya.

Kata pemilik nama Nabilah Ali Dally itu, dia tidak mahu terperangkap dalam kurungan masa yang sudah berlalu. Cukup sekali dia menangis sepenuh hati dan bersedih, kini dia hanya mahu memberi fokus kepada sendirinya sahaja.

“Saya bukan berpura-pura kuat atau menyembunyikan perasaan daripada penglihatan orang ramai. Namun secara jujurnya, saya berasa sudah sembuh, mungkin tidak sepenuhnya tetapi cukup untuk meneruskan kehidupan.

“Perceraian itu sudah berlaku dan ia adalah hakikat yang tidak boleh diubah. Lagipun saya kini sudah tidak bersuami, jadi perlu lebih kuat untuk mencorak kehidupan sendirian selepas ini,” katanya lagi.

Bergelar seorang janda pada usia 27 tahun, Bella tidak melihat perkara itu sesuatu yang buruk atau perlu menjadi alasan untuk berasa malu kerana apa sahaja keputusan yang dibuat adalah untuk kebaikan diri.

Janda muda
Mungkin suatu masa dahulu, janda dilabel status yang digeruni atau mahu dijauhi. Namun, pada zaman moden yang menyaksikan wanita juga mempunyai kuasa berdiri di atas kaki sendiri, maka ia tinggal satu gelaran semata-mata.

Menyifatkan dirinya bernasib baik kerana bercerai sewaktu belum sempat menimang zuriat, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu enggan membiarkan orang memandang serong terhadapnya hanya kerana dia seorang janda.

“Saya masih muda dan perjalanan hidup ini masih jauh lagi. Perceraian saya berlaku dengan baik dan tiada apa yang perlu disesalkan termasuk gelaran janda yang disandang.

“Ada masanya kita perlu memikirkan dan menyayangi diri terlebih dahulu sebelum risaukan orang lain. Mereka di luar sana boleh bercerita apa sahaja, namun hanya saya dan bekas suami yang tahu apa sebenarnya yang terjadi,” terangnya satu demi satu.

Tambah Bella, menerusi aura positif dan ketenangan yang cuba disebarkan menerusi media sosial, dia berharap dapat memberi motivasi kepada wanita senasib dengannya, namun masih gagal bertemu kekuatan yang diperlukan.

“Kita kena yakin dengan qada dan qadar Tuhan dan tidak perlu meratap berlebihan. Memang semua orang akan sedih apabila berlakunya perpisahan, namun kita juga perlu buktikan ia bukanlah satu penamat dalam hidup.

“Sebagai wanita, kita perlu bangkit dan yakin bahawa pasti ada perkara lebih baik untuk menanti di luar sana,” luahnya sambil tersenyum nipis.





Ruang

Selain memiliki sokongan kuat daripada keluarga dan rakan-rakan rapat, pelakon yang popular dengan drama Makmum Yang Paling Aku Cinta itu memberitahu, pilihan untuk menyibukkan diri dengan kerja turut membantu dirinya tidak terus lemas dalam lautan kesedihan.

Dia yang kini sudah mula berjinak-jinak dengan perniagaan menerusi jualan biskut bawah label Crumbs by Bella berkata, apa yang berlaku mendorong dirinya untuk lebih bebas meneroka sesuatu yang baharu.

“Sewaktu hari pertama umat Islam menunaikan solat tarawih, memang hati saya berasa sayu kerana tahun ini saya pergi ke masjid sendirian berbanding berdua tahun lalu. Namun, saya cepat-cepat tersedar dan kembali okey terutama apabila jadual kerja yang padat untuk mempromosikan Crumbs by Bella ini tidak memberi ruang perkara lain datang mengganggu,”ceritanya lagi.

Sempat ditanya, adakah dia boleh menyifatkan bahawa hubungan baiknya dengan bekas suami (Nazim) sebagai kawan, Bella terdiam dan merenung seketika sebelum kembali menyusun ayat terbaik untuk memberikan jawapan.

“Buat masa sekarang, dia sekadar bekas suami saya. Tidak lebih tidak kurang. Saya masih perlukan ruang dan saya percaya bahawa dia juga begitu kerana perceraian bukan satu perkara kecil.

“Namun, saya mengharapkan yang terbaik untuknya. Saya tidak berdendam, marah atau ralat dengan Nazim, cuma kami perlu masa untuk muhasabah diri dari sudut yang lebih besar berhubung apa yang terjadi,”ujarnya tenang.

Bakal menyambut Aidilfitri dengan bercuti bersama keluarga di Pulau Langkawi, Bella pantas menafikan ia merupakan suatu pelarian agar tidak perlu melalui suasana pilu raya tanpa suami di sisi.

Percutian tersebut sudah lama dirancang dan memandangkan tahun ini tiada lagi giliran pulang ke kampung suami, maka tidak salah untuknya membawa keluarganya dari Sabah beraya sambil bercuti.

“Ibu bapa saya akan tiba di ibu kota sehari sebelum raya. Kemudiannya, kami akan ke Langkawi bersama-sama. Ibu masih akan menyediakan juadah raya seperti lemang dan rendang, malah kami tetap memakai baju raya, cuma lokasinya sahaja berbeza,” luahnya seraya menyimpul perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post