Selepas lapan tahun menanti kehadiran zuriat, pelakon dan pelawak Achey mengumumkan khabar gembira apabila membuat keputusan untuk mengambil seorang bayi perempuan yang diberi nama Nur Tiara Zinnirah Nasir sebagai anak angkat bagi menyempurnakan kehidupan mereka.
Achey atau nama lengkapnya, Mohd. Nasir Hamzah, 32, yang berkongsi khabar tersebut menerusi laman Instagramnya pada 13 Jun lalu menyifatkan kehadiran Nur Tiara sebagai mengisi kekosongannya dan isteri, Nor Hasanah Yahaya.
Pelakon filem Hantu Wangan itu turut menjelaskan punca isterinya jarang dilihat bersama kerana sibuk menjaga bayi yang dilahirkan pada 15 Mei lalu tersebut di kampung.
Ikuti temu bual bersama Achey yang juga merupakan anggota kumpulan Bocey itu berkenaan kegembiraannya menyambut Syawal dengan diserikan kehadiran si kecil.
KOSMO!: Tahniah Achey. Bagaimana rasanya kemeriahan dapat menyambut Syawal bertiga pada tahun ini dan kehidupan selepas bergelar bapa?
ACHEY: Perasaannya sangat berlainan kerana Syawal disambut secara bertiga. Saya sangat gembira malah sanak saudara dan kenalan yang datang menziarah turut menitipkan doa buat kami sekeluarga.
Saya harap dengan doa yang dititipkan itu mudah-mudahan menjadikan Nur Tiara seorang anak yang baik dan solehah. Saya juga berasa semakin tanggungjawab kerana tugas sebagai ibu bapa itu sudah berjalan sejak kewujudan Nur Tiara, malah ia menyuntik semangat baharu dalam kehidupan kami.
Bercakap dari segi pengalaman pula, kami melalui fasa baharu apabila perlu berjaga malam menjaganya.
Bagaimanapun, Nur Tiara sangat mudah dijaga dan tidak banyak meragam. Kebiasaannya, dia akan tidur pada waktu siang dan berjaga pada sebelah malam tetapi tidur semula selepas Subuh.
Boleh kongsikan bagaimana anda dan isteri membuat keputusan untuk mengambil anak angkat sebagai penyeri rumah tangga?
Tahun ini genap lapan tahun kami berkahwin dan saya ada berbincang dengan isteri berhubung perkara tersebut tetapi kami memilih untuk mengikut perancangan yang ditetapkan Allah.
Ada juga yang menawarkan kami untuk mengambil anak angkat pada awal tahun lalu tetapi ketika itu hati masih belum terbuka, apatah lagi kami sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bagaimanapun pada 22 Mei lalu, saya mendapat panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan tentang bayi tersebut. Kebetulan pada hari itu, saya mempunyai masa lapang dan kami terus bergegas ke HKL. Selepas melihat bayi tersebut, isteri terus menyatakan persetujuan untuk mengambilnya sebagai anak angkat.
Seminggu selepas Nur Tiara dilahirkan saya membawanya pulang ke kampung di Segamat, Johor dan saya sendiri pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menguruskan proses pengambilan anak angkat dan dokumentasi.
Menerusi prosedur JKM, kami perlu melalui tempoh percubaan selama dua tahun sebelum Nur Tiara disahkan menjadi anak angkat kami.
Bagaimana pula dengan penerimaan keluarga anda dan isteri?
Alhamdulillah, keluarga saya dan isteri sangat positif. Cuma, mereka berpesan supaya menjaga anugerah terindah daripada Allah itu sebaik mungkin kerana keluarga saya dan isteri tidak pernah berdepan pengalaman mengambil anak angkat.
Adakah anda sempat bertanya pendapat mana-mana rakan yang pernah mengambil anak angkat?
Sejujurnya saya tidak bertanya kepada sesiapa selepas mengambil Nur Tiara. Ada juga yang memberitahu proses pengambilan anak angkat ini rumit tetapi saya tidak kisah. Apa yang penting saya dan isteri sudah mengambilnya sebagai anak kami.
Jika perlu menunggu masa yang lama untuk melalui proses tersebut juga saya tidak kisah. Saya akan mengikuti sahaja setiap prosedur yang diperlukan, malah isteri juga positif berkenaan perkara itu.
Jika dilihat anda sudah membuka akaun Instagram untuk Nur Tiara. Mengapa anda memilih untuk berbuat demikian?
Saya membuka akaun Instagram buatnya kerana memudahkan orang ramai untuk melihat perkembangannya. Selain itu, ia memudahkan khalayak mengenalinya dan mengetahui Nur Tiara adalah anak kami.
Saya faham sebagai seorang yang dikenali, sudah tentu peminat mahu melihat perkembangan saya termasuklah hal anak.
Kadangkala kami juga tidak mahu berkongsi tetapi saya anggap itu merupakan sebahagian daripada tugas sebagai seorang selebriti. Saya memilih untuk mengasingkan akaun Instagramnya supaya memudahkan kami berkongsi perkembangan terkini Nur Tiara.
Bagaimana sekiranya ditakdirkan anda dan isteri dikurniakan zuriat sendiri selepas ini?
Jika ditakdirkan kami dikurniakan zuriat sendiri selepas ini, saya anggap itu rezeki. Saya mungkin akan mengambil anak angkat lagi sekiranya mempunyai anak sendiri nanti.
Hal ini kerana saya baru sedar betapa indahnya menjaga anak. Apatah lagi menjaga anak angkat kerana kasih sayang yang dicurahkan perlu berganda supaya perasaan itu tidak lari daripada kita.
Apabila mereka dewasa kelak, mereka boleh berfikir yang kita sebagai ibu bapa ini tidak membezakan kasih sayang walaupun berstatus anak angkat.
Bercerita tentang usaha mendapatkan zuriat, adakah kalian berdua pernah mencuba mana-mana kaedah rawatan moden atau tradisional?
Semua pasangan suami isteri mahu mempunyai zuriat sendiri dan sejujurnya kami juga ada menjalani rawatan tradisional serta moden. Malah, ketika usia perkahwinan menginjak tahun kedua juga kami sudah mula mencuba pelbagai rawatan.
Cuma buat masa ini, kami masih meneruskan rawatan di HKL. Ada juga pusat perubatan swasta yang menghubungi untuk melakukan rawatan tetapi kami mahu fokus rawatan dengan HKL terlebih dahulu.
Selagi boleh usaha, kami akan cuba dan lihat sahaja seperti penghibur terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tidak pernah putus berusaha mendapatkan zuriat. Kami akan berusaha sehingga peringkat terakhir iaitu kaedah kehamilan secara In Vitro Fertilisation (IVF).
Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?
Saya akan terlibat dalam program Super Spontan pada Julai nanti selain muncul menerusi segmen di radio Era. Tentang kerjaya lakonan pula, saya terpaksa menolak tiga tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan kepada Nur Tiara yang masih kecil itu.