Amar Baharin, Amyra Rosli kedekut anak


Pertama kali menyambut lebaran dalam limpah kemanisan bersama kehadiran cahaya mata pertama pastinya meninggalkan memori terindah buat setiap pasangan yang baru membina keluarga.

Kata orang, apabila ada kehadiran si kecil dalam keluarga, persiapan ibu bapa sudah jatuh di tempat kedua.

Perkara serupa diakui oleh pasangan sama cantik sama padan, Amar Baharin dan Amyra Rosli sejak dikurniakan cahaya mata sulung iaitu Aqeef Anaqi yang kini mencecah usia lapan bulan.

Paling menyeronokkan adalah pengalaman menemukan Anaqi dengan sanak saudara di kampung. Kata Amar, baru kini dia merasakan kegirangan beraya dengan anak sendiri.

“Kesibukan jadual kerja terutama dengan Amyra yang baru kembali aktif selepas bersalin membuatkan ada lagi saudara saya di kampung yang belum berjumpa dengan Anaqi.

“Sebenarnya mereka tidaklah tinggal terlalu jauh, hanya sekitar Semenyih, Selangor tetapi belum berkesempatan melawat. Jadi, raya adalah peluang terbaik membawa Aqif bermesra dengan mereka,” katanya ketika sesi fotografi raya bersama Kosmo! baru-baru ini.
Rezeki

Selain menyerikan kehidupan pasangan berkahwin, zuriat yang lahir turut dijanjikan rezeki yang semakin melimpah buat ibu bapa, Amar atau nama sebenarnya, Amar Mohd. Baharin, 31, menjelaskan, sejak berada di dalam perut lagi, si kecil itu sudah mula mendapat pelbagai tawaran tidak dijangka.

Bermula dengan rancangan realiti The Adventure of Aqeef Anaqi (Astro) yang disiarkan awal tahun ini sehinggalah tawaran bergelar duta kempen Terima Kasih (TV3) dan Prima Valet bagi koleksi baju raya, Anaqi ternyata si cilik yang bertuah.

Kata Amar, kebanyakan tawaran iklan dan duta yang diterima kali ini membabitkan mereka bertiga, sekali gus membuktikan bahawa Anaqi juga sudah mula mendapat perhatian peminat seni tanah air.

“Saya berasa amat bersyukur kerana tahun ini, kami berdua dapat beraya dengan anak buat kali pertama dan rezeki menjadi duta Prima Valet, baju raya kami mencecah 30 pasang seorang.

“Meskipun koleksi itu tidak dapat menandingi Rozita Che Wan tetapi kami sangat berbesar hati kerana persiapan raya menjadi lebih mudah dan tidak perlu pening kepala memikirkan tema atau warna baju raya tahun ini,”ujarnya sambil tertawa.

Bagi Amyra atau nama penuhnya, Nur Amira Izzati Rosli, 27, pula, sebagai ibu, dia berasa sangat terharu kerana rata-rata peminat turut melimpahkan kasih sayang kepada anaknya walaupun Anaqi secara teknikalnya bukanlah seorang selebriti.

“Populariti Anaqi bukanlah sesuatu yang dirancang, malah kewujudan laman Instagram miliknya, @aqeefanaqi pada mulanya bersifat koleksi peribadi, namun alhamdulillah ramai yang jatuh cinta dengan keletah anak kami dan secara tidak langsung dia mula mengumpul peminat sendiri,” jelasnya lagi.





Kedekut

Menjadi ibu bapa kepada anak kecil, pastinya keselamatan dan kesihatan anak terutama menjelang musim perayaan menjadi keutamaan memandangkan banyak berkunjung ke kawasan yang mempunyai ramai orang.

Amar yang sebelum ini dengan lantang menyelar sikap segelintir individu yang mencium bayi-bayi kecil dalam keadaan kesihatan kurang baik memberitahu, tujuan luahan sebegitu dibuat agar ibu bapa saling beringat.

Biarpun belum berdepan situasi tersebut, pelakon Si Kolot Suamiku itu berkata, dia tidak mahu mengambil risiko dan tidak kisah dilabel ‘kedekut’ anak.

“Saya bukanlah ‘kedekut’ sampai langsung anak tidak boleh disentuh, cuma seboleh-bolehnya mahu mengelak dia daripada dipegang atau dicium sesuka hati terutama apabila berjumpa peminat di kawasan yang sesak.

“Namun, saya bersyukur kerana peminat sangat memahami dan menghormati pendirian kami. Sejujurnya, saya okey jika ada yang mahu mencium Anaqi, cuma pastikan mereka sihat dan tiada penyakit serta bukan perokok,” terangnya panjang lebar.

Turut menyokong kata-kata si suami, Amyra berkata, pengalaman menjaga Anaqi yang mendapat selesema dan demam sewaktu berusia tiga bulan sudah cukup menyayat hatinya. Dia tidak mahu melihat hero kecilnya sakit sekali lagi.

“Waktu itu, saya tidak tidur malam kerana hidung Anaqi tersumbat. Saya menangis setiap kali melihat dia sukar bernafas.

“Sejak itu, tindak balas saya ‘melarikan’ anak jika mahu dicium sesuka hati menjadi lebih pantas,” beritahunya sebelum menyimpul perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post