Serampang dua mata Hunny Madu


Hunny Madu bakal melancarkan sebuah album studio tidak lama lagi.

Tempoh tujuh tahun tidak muncul dengan album studio penuh, rapper dan pengacara, Hunny Madu mendedahkan bahawa sudah tiba masa dia menambah diskografi selepas hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan saat menyambut kelahiran anak keduanya, Adam Musa tahun lalu.

Hunny atau nama lengkapnya, Hani Farhana Mohd. Hatim menjelaskan, jika tiada halangan, dia bakal hadir dengan album baharu tahun ini yang proses rakamannya sudah siap, namun masih menunggu tarikh sesuai untuk dikongsikan bersama peminat.
Sibuk dengan tugas hakiki sebagai ibu kepada dua anaknya iaitu Eva Medina, 6, dan Adam yang kini berusia empat bulan, Hunny akan tetap meneruskan minatnya sebagai penyanyi rap wanita yang baginya, karier berkenaan semakin berkembang di Malaysia.

Terbaharu, isteri kepada Khairul Azhar Abdul Wahid itu muncul dengan single edaran Warner Music Malaysia berjudul Sudah duet bersama Indera Band yang kini boleh didengar menerusi platform muzik digital dan corong radio.

KOSMO!: Apa cabaran yang dirasai semasa Hunny menulis lirik pada bahagian rap dalam lagu Sudah?

HUNNY MADU: Sebenarnya saya gementar kerana tidak pernah cuba menyanyi, apatah lagi menulis lagu seperti ini. Lebih-lebih lagi genre rock balada. Bagaimanapun, ketika di studio segalanya berjalan dengan lancar.

Lirik memang sudah ada bahagian korus. Jadi, untuk bahagian rap pula saya tulis sebagai luahan daripada seorang wanita. Sesuatu yang berbeza dan tidak pernah saya lakukan sebelum ini.

Umum mengetahui, anda selesa menulis dalam bahasa Inggeris. Namun, dalam lagu ini ditulis dalam bahasa Melayu, mungkin ada sedikit kesukaran?

Ia suatu pengalaman baharu buat saya. Sebenarnya ketika di sekolah, saya selalu masuk pertandingan puisi, syarahan dan sebagainya dalam bahasa Melayu, namun apabila masuk alam universiti dan belajar di luar negara, mungkin di situ sudah banyak berubah serta terbawa-bawa percakapan dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, saya tiada masalah untuk menyanyi lagu rap dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Misalnya dalam lagu Sudah, lirik yang saya hasilkan tidak kasar dan ia boleh dikatakan jiwang.

Bagaimanakah dengan kerjaya solo anda sebagai seorang penyanyi dan rapper?

Semasa mengandung tahun lalu, saya sudah bercadang untuk melancarkan album, namun ia tidak menjadi kenyataan kerana sudah hampir mahu bersalin dan sibuk dengan banyak perkara.

Tahun ini, saya berharap dapat berkongsi sebuah album dengan peminat. Ia sudah siap dirakamkan dan hanya beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Lagipun sudah lama iaitu sekitar tujuh tahun saya tidak keluar dengan album penuh.

Mengapa anda berani untuk hadir dengan album penuh sedangkan pasaran muzik tidak begitu stabil ketika ini?

Saya mencari kepuasan dan percaya, rugi sikit semasa buat album tidak mengapa asalkan ada katalog (album). Saya sudah ada dua anak.

Jadi, saya mahu apabila mereka besar nanti, bangga dengan pencapaian ibu mereka.

Bahkan apabila sudah bergelar nenek nanti, saya mahu cakap kepada cucu-cucu bahawa ‘nenek ada album studio’.

Apa yang saya cuba katakan, jangan berhenti mengejar mimpi walaupun sudah bertukar status.





Tidakkah anda rasa sudah ada dua orang anak dengan tanggungjawab sebagai isteri sedikit sebanyak menjadikan kerjaya agak terhad?

Terfikir juga tetapi saya perlu bijak membahagikan masa. Kalau dahulu, boleh kerja sampai pukul 2 pagi. Sekarang tidak boleh begitu lagi.

Masuk kerja kena awal mungkin 8 pagi kerana pukul 5 petang sudah perlu berada di rumah bersama anak-anak. Segalanya sudah berubah, namun minat saya terhadap dunia hiburan tetap sama.

Soalan terakhir, bagaimana anda melihat kedudukan penyanyi rap wanita di Malaysia ketika ini?

Tidak ramai kaum wanita yang jadi penyanyi rap di Malaysia, namun hari demi hari ia semakin berkembang. Rap ada banyak jenis, ada yang intelektual, merepek, meraban dan ada yang untuk persembahan di kelab malam.

Saya sedar diri dan berpijak di bumi yang nyata. Rap yang saya bawa masih berunsurkan Melayu dan penuh budaya ketimuran.

Post a Comment

Previous Post Next Post