Konteks seni Dua Lipa


Melihat perjalanan seni milik Dua Lipa sejak melancarkan album pertamanya sekitar tahun lalu, wanita kelahiran London, England itu boleh dikategorikan sebagai sangat beruntung.

Hal ini kerana, kebanyakan single yang dikeluarkan Lipa bukan sahaja melekat kuat dalam kepala penggemar, malah turut tersenarai dalam tangga-tangga teratas carta muzik, baik di United Kingdom (UK) mahupun Amerikat Syarikat (AS).

Bukti paling jelas boleh dilihat menerusi single keduanya, New Rules yang diterbitkan pada 21 Julai 2017. Biarpun masih hijau dalam industri muzik, namun lagu ciptaan sepenuhnya Caroline Ailin, Emily Warren dan Ian Kirkpatrick itu berjaya menduduki tangga pertama dan keenam di UK dan AS, sekali gus menyita perhatian khalayak di seluruh dunia.

Tidak seperti penyanyi lain yang mungkin risau untaian lagu mereka pada masa akan datang gagal memberi impak pada masyarakat, Lipa ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia hanya mahu memberi fokus kepada penulisan lagu dan menyerahkan perkara selebihnya kepada peminat.

Mulut ke mulut

“Apa yang penting adalah melihat karya terbitan saya tumbuh secara sihat. Jika ia tidak berlaku secara komersial sekalipun, lagu-lagu saya ‘berjalan’ dari mulut seorang peminat ke peminat lain.

“Jujur, saya tidak pernah terfikir bahawa New Rules akan memberi impak sebesar ini. Bagaimanapun, lagu tersebut telah mengubah saya untuk menjadi penyanyi yang lebih baik,” katanya.

Menurut wanita berusia 23 tahun itu, dia tetap akan terus menulis lagu pada masa akan datang dan mengeluarkan karya-karya yang mewakili dirinya sebagai seorang penyanyi.

“Benar, New Rules merupakan sebuah lagu yang agak sukar untuk ditandingi. Namun, saya akan tetap mengeluarkan lagu lain, tidak kira sama ada ia diterima dengan baik atau sebaliknya,” ujar Lipa jujur.

Melanjutkan bicara mengenai muzik, Lipa mempunyai pendirian tersendiri mengenai bidang yang sangat dicintainya itu. Menurutnya, muzik juga tidak mengenal sebarang genre dan setiap lagu yang dikeluarkan oleh seseorang artis mempunyai sisi kualiti tersendiri.

“Saya merupakan seorang yang sangat gemarkan muzik. Saya dengar semua jenis muzik dan mengagumi ramai penyanyi.

“Disebabkan hal tersebut, saya mempunyai kesukaran ketika menulis dan memilih lagu untuk album debut saya tahun lalu. Maklumlah, terlalu banyak inspirasi,” ujar Lipa yang mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan album perdananya.

Lipa turut menjelaskan, dia merupakan seorang penyanyi yang mementingkan gaya penulisan lirik berbanding melodi sesebuah lagu.

Katanya, jika sesebuah lagu tidak seiring dengan lirik tulisannya, dia akan mengubah melodi lagu berkenaan supaya ia tidak kedengaran janggal apabila dimainkan.





Penulisan lagu

“Saya lebih mengutamakan lirik berbanding melodi. Pada pendapat saya, sesebuah penceritaan akan menjadi lebih sempurna jika liriknya ditulis dengan baik.

“Jadi, apabila melodi sesebuah lagu tidak bertepatan dengan lirik, saya akan segera menukar komposisi muzik supaya ia lebih jitu dengan penceritaan asal,” katanya.

Bercakap mengenai penulisan dalam lagu-lagunya, Lipa turut berkongsi mengenai kisah di sebalik single terbaharunya, IDGAF.

“Sewaktu saya meluncurkan single pertama berjudul Be The One, bekas kekasih semasa berusia 17 tahun menghubungi saya. Dia ingin bertanya khabar dan menyatakan ada mendengar lagu saya.

“Ketika itu, saya tidak mempunyai perasaan terhadapnya kerana dia merupakan seorang lelaki yang sangat kejam. Jadi, menerusi panggilan tersebut, saya terinspirasi untuk menulis IDGAF,” katanya sambil tertawa.

Selain meninggalkan kekasihnya, ada beberapa keputusan yang diambil oleh Lipa yang telah memberi kesan positif dalam kariernya sebagai penyanyi. Ia termasuklah ‘menahan’ diri daripada terus menjadi artis jemputan dalam lagu-lagu orang lain.

“Ketika mula-mula bergelar penyanyi, saya kerap diundang untuk berduet atau menyanyi bersama penyanyi lain dalam lagu. Saya kemudian mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tabiat tersebut dan memberi fokus kepada muzik sendiri.

“Saya mengambil keputusan untuk berbuat demikian kerana mahu mengetengahkan muzik sendiri dalam kalangan peminat. Saya tidak anggap ia sebagai suatu yang merugikan kerana dalam jangka masa panjang, ramai telah mula mengenali saya,” katanya.

Langkah tersebut terbukti apabila Lipa bekerjasama dengan penerbit muzik Martin Garrix, menerusi single Scared To Be Lonely yang diterbitkan hanya selepas dia meluncurkan empat single solo.

“Ketika Scared To Be Lonely dipasarkan, orang ramai mula mengenali wanita dalam lagu itu sebagai Dua Lipa yang mampu untuk mengeluarkan lagu solonya juga,” ujar Lipa sambil tersenyum.

Jelajah

Ditanya, apakah yang dilakukannya dalam tempoh 10 tahun akan datang, wanita berketurunan Albania itu berkata, dia tidak boleh menebak masa depannya. Bagaimanapun, Lipa menjangkakan dia masih utuh berkarya sebagai seorang penyanyi.

“Saya akan masih di sini, menulis muzik dan membuat persembahan,” katanya.

Masih dalam rangka promosi album debutnya yang diberi judul Dua Lipa, Lipa mengambil kesempatan tersebut untuk singgah di beberapa buah negara Asia, termasuk Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert jelajahnya, Dua Lipa Live In Kuala Lumpur 2018.

Diadakan pada Khamis lalu di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur, persembahan Lipa memberikan ledakan luar biasa dalam kalangan 2,500 peminatnya.

Menyanyikan kesemua lagu dalam album, Lipa dilihat begitu bertenaga ketika menghiburkan peminat. Biarpun tanpa kehadiran penyanyi latar, kehadiran Lipa di atas pentas cukup mengujakan.

Lipa juga tidak berkompromi soal suara kerana staminanya sepanjang melantunkan lagu-lagu rancak harus diberi pujian.

Biarpun sesekali berhenti sebentar di antara lagu, Lipa masih cemerlang meneruskan persembahan hingga ke minit terakhir.

Dari segi produksi juga, konsert yang berlangsung sekitar sejam 30 minit tersebut berjalan dengan lancar.

Bersempena dengan persinggahannya di Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert Dua Lipa Live In Kuala Lumpur 2018 yang berlangsung di KL Live baru-baru ini, Dua Lipa berkongsi cerita tentang fokusnya dalam muzik dan perancangan sebagai seorang penghibur serta penulis lagu untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Post a Comment

Previous Post Next Post