
Noryn akan menumpukan perhatian untuk membesarkan anak.
Penyanyi, Noryn Aziz masih menunggu tarikh untuk menghadiri sesi sulh kedua berhubung kemelut rah tangganya bersama suami, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abd Aziz berkata, setakat ini dia meneruskan kehidupan seperti biasa sementara menunggu tarikh tersebut.
"Hidup mesti diteruskan. Apa pun yang terjadi selepas ini saya perlu reda selain menumpukan perhatian untuk membesarkan anak.
"Sedih itu pasti ada tetapi saya positifkan diri berhadapan dengan situasi tersebut. Saya tidak boleh bercerita lanjut kerana proses tersebut masih berjalan di mahkamah," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujar Noryn, apa jua yang terjadi selepas ini, dia percaya tanggungjawab terhadap anak lelaki mereka, Raja Bariq Umar Shah, 4, tidak akan diabaikan.
Noryn berkahwin dengan Raja Kamarul Bahrin Shah dalam satu majlis tertutup pada 22 Januari 2010 di Terengganu.
Terdahulu, Noryn dan suami dikatakan telah hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada 1 April lalu untuk menghadiri sesi majlis sulh pertama.
Menerusi laporan media sebelum ini, suami Noryn mengesahkan permohonan penceraian mereka difailkan sejak tahun lalu, namun dia enggan berkongsi tarikh tepat.