
Selepas hampir 30 tahun bergelar anak seni, pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi melahirkan hasrat untuk memperlahankan kerjaya dalam dunia hiburan semata-mata mahu memberi fokus kepada misi amal sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkannya iaitu Yayasan Pesona.
Aznil sama sekali tidak berasa ralat dengan keputusan tersebut memandangkan beliau telah puas mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang tiga dekad menyandang status sebagai selebriti.
“Saya sanggup memperlahankan kerjaya demi memberi tumpuan kepada aktiviti yang bakal dijayakan menerusi yayasan ini.
“Saya tidak risau, apatah lagi menyesal dengan keputusan yang dilakukan. Hal ini kerana, saya akan menjadi lebih menyesal jika tidak dapat membantu insan yang memerlukan demi menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada misi kedua Yayasan Pesona di Restoran Sate Kajang Haji Samuri, Kajang baru-baru ini.
Menerusi misi tersebut, pengacara berusia 56 tahun itu membawa 150 pelajar dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Kuala Lumpur menaiki MRT buat kali pertama sebelum menikmati hidangan tengah hari di restoran berkenaan.
Bercerita lanjut mengenai yayasan yang ditubuhkan pada 28 Februari lalu itu, Aznil berkata, fokus utamanya adalah memberi pendedahan kepada golongan cilik dan remaja untuk menyuarakan pendapat masing-masing dalam skala besar tetapi masih kekal dalam lingkungan adab dan sopan orang Timur.
“Orang yang berjaya adalah orang yang mahu ke depan dan bercakap. Saya perhatikan, anak-anak muda zaman sekarang hanya lantang di sosial media tetapi tidak secara lahiriah.
“Justeru, menerusi yayasan ini, saya akan pergi ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia dan cuba memberi pendedahan secara percuma agar generasi muda lebih berani memberi pendapat tetapi masih sopan ketika berbicara,” katanya.
Politik
Pelakon filem Magika itu percaya, jika inisiatif berkenaan dijayakan secara berterusan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang disegani menjelang tahun 2050.
“Sekarang, kita hanya menjadi pengikut kerana tiada siapa mahu mendengar pandangan kita di peringkat dunia.
“Insya-Allah, jika kita tahu untuk bercakap dan memberi pendapat secara beradab, negara kita akan dikenali dalam kalangan mereka yang berpengaruh. Ketika itu, kita mungkin ada kemungkinan untuk memimpin dunia,” katanya dalam nada positif.
Dalam pada itu, Aznil berkata, misi pertama Yayasan Pesona di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Tebrau dan Sekolah Kebangssan Felda Ulu Tebrau, Johor pada 19 April lalu menerima respons yang cukup luar biasa.
Justeru Aznil berpendapat, beliau perlu menyambung tugasnya sebagai pemberi inspirasi kepada kanak-kanak di seluruh sekolah di Malaysia.
“Selepas memulakan program pertama di Felda Ulu Tebrau, saya yakin agenda seterusnya akan mendapat respons sama.
“Guru-guru yang mahu menjemput saya untuk hadir ke sekolah mereka boleh berbuat demikian dengan menghantar mesej menerusi Instagram rasmi Yayasan Pesona iaitu @yayasanpesona,” kata Aznil sambil memberitahu, yayasan tersebut kini disokong Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Ditebak dengan persoalan adakah penglibatan dalam kerjaya-kerja amal memberi gambaran bahawa beliau akan menceburi bidang politik, ini jawapan Aznil:
“Jika saya terlibat dengan politik, akan ada kelompok yang suka dan tidak menyukai saya.
“Jadi, lebih baik saya meneruskan apa yang dilakukan sekarang dan memberi bantuan tanpa mengenal latar belakang serta warna kulit.”