Amy Search bakal timang anak lagi di usia 60 tahun


Hasrat penyanyi rock terkenal tanah air, Amy Search untuk menimang seorang lagi cahaya mata pada usianya menginjak 60 tahun menjadi kenyataan apabila isterinya, Norhasniza Hassan atau lebih mesra disapa sebagai Nourish, 37, disahkan hamil anak keempat mereka.

Amy yang juga merupakan vokalis kumpulan Search ini berkongsi berita gembira tersebut menerusi laman Instagramnya semalam dengan memuat naik video Nourish sedang menjalani pemeriksaan kandungan yang kini sudah berusia sebulan.

“Isteri aku mengandung sebulan yeahhhhh!!!! Aku selalu doa bila umur aku 60 tahun, nak timang anak lagi. Korang semua doakan moga aku Berjaya. I love you sayang @qasander,” tulis Amy sebagai kapsyen video tersebut.


Terdahulu sebelum itu, Amy turut memuat naik gambar alat ujian kehamilan yang menunjukkan tanda positif sebagai perkongsian awalnya bersama peminat.

Berita gembira ini semestinya turut menarik perhatian para peminat dan pengikutnya di laman Instagram di mana rata-ratanya telah mengucapkan tahniah selain doa buat pasangan ini.

Amy dan Nourish telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9 tahun.





Manakala dari perkahwinan terdahulu, Amy mempunyai dua anak perempuan iaitu pelakon Nabila Huda, 34, (perkahwinan pertama) dan Irisha Myra, 21, (perkahwinan ketiga)

Selain itu, Amy juga mempunyai seorang cucu, Keisha Laila, 7, yang merupakan anak tunggal Nabila Huda.

Post a Comment

Previous Post Next Post