Tunang Ahya Rosli terima gangguan seksual


Pelakon dan juga model, Ahya Rosli ingin menuntut keadilan buat tunangnya yang hanya dikenali dengan nama Shahirah selepas berdepan kes gangguan seksual di tempat kerja, bulan lalu.

Menurut selebriti berusia 31 tahun ini, biarpun laporan polis sudah dibuat, namun tidak ada perkembangan lanjut dan pelaku tersebut masih bebas sehingga kini.

"Saya jadi pelik kenapa kes tersebut tergantung begitu sahaja. Walaupun kami ada menghubungi pegawai yang mengambil kes ini, tapi tidak ada jawapan yang diterima.

"Disebabkan peristiwa yang berlaku, tunang saya berdepan dengan trauma dan takut untuk ke mana-mana, duduk rumah pun dia rasa tak selamat. Dia bimbang akan diapa-apakan.

"Malah selepas diraba, individu terbabit mengugutnya akan memberhentikan Shahirah daripada kerja.

"Tunang saya masih bekerja di syarikat berkenaan kerana dia perlu menyara ibu dan tiga adiknya, manakala bapanya sudah meninggal dunia," katanya.





Anak kepada aktres Normah Damanhuri ini meluahkan rasa tidak puas hati di laman Instagram miliknya mengenai gangguan yang dihadapi Shahirah.

Jelasnya, individu yang melakukan gangguan seksual itu menuduh Shahirah sebagai pelacur dan kes yang dialami tunangnya itu pernah berlaku kepada kakitangan lain.

"Tak kena pada teman wanita, isteri, ibu, kakak, adik perempuan korang lagi. Sekarang dah kena dekat Ahya. Harap ini jadi pengajaran untuk semua. Kita baik macam mana pun syaitan ini sentiasa ada," tulisnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post