Uji Rashid Sedia jadi makcik bawang


Belum pun menetap di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Subang yang bakal menjadi kediaman terbarunya, penyanyi popular era 70-an, Uji Rashid sudah menjadi tumpuan jiran-jirannya.

Kehadirannya melawat rumah itu sebelum ini pun sudah cukup menarik perhatian ramai sehingga menjadi perbualan hangat.

Uji mengakui memang maklum berkenaan perkara itu dan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan situasi 'jiran kepoci'.

"Saya pernah merasai benda ini. Itulah sebabnya saya baru belajar perkataan makcik bawang.

"Mulanya saya tidak perasan kehadiran saya diintai oleh jiran-jiran yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar.

"Bagaimanapun pengurus saya, Kit Rushaimin perasan ramai yang ambil gambar dan memberitahu perkara itu kepada saya.

"Tapi mereka seboleh mungkin tidak mengaku sedangkan ada bunyi klik! di telefon mereka sebagai bukti mereka ada berbuat demikian. Mereka sanggup berbohong," katanya.

Penyanyi lagu Semakin Hari Semakin Sayang dan Ku Ingin Selalu Disampingmu ini berkata, pegawai bertugas di situ juga meminta mereka yang mengambil gambar agar jangan menularkannya di laman sosial tetapi mereka tetap menafikan perkara ini.





"Pegawai itu minta padam gambar itu tetapi mereka tetap bertegas mengatakan tiada yang ambil gambar.

"Malah ada juga kedengaran dialog penduduk dia tahu bila saya nak datang ke situ.

"Bagaimana mereka boleh tahu sedangkan wakil media sendiri cuba untuk mengorek cerita tetapi saya hanya kunci mulut," katanya.

Menurutnya, dia bukan sengaja merahsiakan tarikh akan berpindah ke situ tetapi memegang prinsip mahu privasinya dihormati.

"InsyaAllah saya tidak akan merahsiakannya dan mungkin akan beritahu media satu persatu atau beritahu semuanya sekaligus.

"Saya berjanji akan berbuat demikian. Bukan saya nak lari kerana saya tidak pernah buat begini kepada pihak media.

Cuma buat masa ini saya tidak produk lagu baru, filem atau apa-apa sahaja yang nak dikongsi. Jadi apa yang saya nak ceritakan kepada media," katanya.

Populariti Uji meningkat tiba-tiba apabila kisahnya yang dibebani masalah kewangan hingga hampir diusir dari rumah sewa tular di laman sosial.

Dia kemudian bertemu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar untuk memohon rumah PPR dan Noh berkongsi kisah pertemuan mereka di status Facebooknya.

Permintaan Uji mendapat perhatian segera apabila diberikan kunci mendiami rumah itu pada 19 Mac lalu dengan kadar sewa RM255 sebulan.

Dia bagaimanapun memaklumkan belum berpindah ke kediaman disediakan itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post