Syamsul Yusof pilih Adi Putra jadi Mat Kilau


Pengarah dan pelakon berbakat besar, Syamsul Yusof, memberitahu, dia memilih Datuk Adi Putra sebagai pelakon utama filem Mat Kilau kerana pengalaman luas pelakon itu dalam bidang lakonan.

Jelas Syamsul, biarpun Adi Putra berasal dari Singapura, namun, dia sudah memiliki taraf penduduk tetap di sini.

"Saya telah mengambil kira beberapa faktor dan saya rasa beliau sangat sesuai membawakan watak Mat Kilau.

"Naluri saya mengatakan pilihan ini tepat dan saya percaya watak Mat Kilau ini akan diterjemahkan dengan baik oleh Adi," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut di Dataran Karyawan Finas, baru-baru ini.

Selain Adi, filem ini turut dibintangi Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As'ari, Farid Amirul, A.Galak, Yayan Ruhiyan dan Nadiya Nisaa.

Filem yang menelan belanja RM5 juta ini telah memulakan penggambaran pada 1 April lalu melibatkan beberapa kawasan di sekitar Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

Filem ini diterbitkan oleh Studio Kembara dengan kerjasama Skop Production Sdn. Bhd.





"Alhamdulillah kami mendapat geran bantuan bernilai RM1.5 juta dari Finas dan baki RM3.5 juta dikeluarkan oleh Studio Kembara.

"Penggambaran akan berlangsung selama dua bulan dan saya jangka melibatkan 500 pelakon tambahan," ujarnya.

Tambah Syamsul, pada awalnya, dia diminta untuk menyambung penggambaran filem Mat Kilau yang sudah dibuat kira-kira 50 peratus.

Bagaimanapun setelah meneliti dan mengambil kira banyak faktor, dia bersetuju dengan syarat.

"Saya tak mahu buat kerja tangkap muat sahaja. Ini melibatkan portfolio dan kepercayaan penonton juga pada saya. Jadi saya bersetuju dengan syarat filem ini dilakukan penggambaran semula.

"Saya turut membuat kajian dan membantu mengolah skrip agar lebih kuat. Semoga penonton berpuas hati dengan hasilnya nanti," jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post