Rita Rudaini tiada niat berkahwin lagi


Rita mengaku akan menapis tawaran sekiranya kedua-dua anaknya mahu terbabit dalam dunia seni.

Hampir lima tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Rita Rudaini, 42, memberitahu, dia tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

Kata pelakon Sehangat Asmara itu, dia gembira dengan kehidupan yang dilalui kini selain memberi tumpuan membesarkan dua permata hatinya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7.

Bagaimanapun, Rita yang ditemui pada pelancaran program terbaharu Astro iaitu Oh My Family di The Forum, Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak menolak seandainya dikurniakan jodoh selepas ini.

KOSMO!: Selepas hampir lima tahun bergelar ibu tunggal, Rita tidak terfikir mahu mendirikan rumah tangga sekali lagi?

RITA RUDAINI: Sejujurnya, tidak pernah terlintas di fikiran untuk berkahwin lagi kerana saya kini sibuk menguruskan anak-anak. Hari-hari saya sibuk dengan mereka, malah masa rehat juga hanya ketika waktu tidur kerana dari pagi saya sibuk menguruskan mereka berdua.

Adakah anda tidak berasa sunyi kerana tidak mempunyai pasangan?

Hidup saya tidak pernah sunyi apatah lagi dengan anak-anak yang semakin membesar. Malah semakin mereka besar, makin banyak juga perkara yang saya perlu jaga.

Kebanyakan orang berpendapat, anak-anak susah dijaga ketika kecil tetapi bagi saya setiap peringkat pembesaran mereka itu ada kesusahannya kerana saya ibu tunggal.

Malah, saya juga tidak terfikir langsung mahu mempunyai pasangan kerana gembira dengan kehidupan sekarang. Bagaimanapun, saya terima sekiranya ditakdirkan suatu hari nanti dipertemukan jodoh tetapi saya harap jodoh yang dikurniakan itu nanti baik untuk anak-anak.

Bagi fasa sekarang, saya lebih mementingkan apa yang baik untuk anak-anak dan bukannya untuk saya.

Boleh ceritakan sedikit berkenaan program pertama membabitkan kedua-dua anak anda dalam rancangan Oh My Family! ini?

Sebenarnya saya teruja untuk program seperti ini kerana ia mengajar anak-anak untuk berdikari tanpa ibu bapa.

Selalunya anak-anak pasti beranggapan ibu bapa mereka ada untuk membantu tetapi berbezanya pada program ini, mereka perlu berfikir dan berdikari sendiri untuk melakukan sesuatu misi itu.

Kedua-dua anak saya juga teruja kerana mereka sering bertanya bila boleh berlakon tetapi jika program sebegini saya tiada masalah kerana ia bagus dalam memberi pendedahan kepada mereka.

Apatah lagi saya sendiri sememangnya mengajar mereka untuk hidup berdikari sejak dari kecil lagi.





Boleh berikan komen kerana jika dilihat hanya anda sahaja merupakan ibu tunggal dalam program Oh My Family tersebut?

Saya perasan juga tetapi mungkin pihak produksi mahu menonjolkan kelainan dari segi bagaimana cara saya membesarkan dan mendidik anak-anak sebagai ibu tunggal.

Adakah anda sudah bersedia membenarkan anak-anak anda menceburi dunia hiburan?

Seboleh-bolehnya saya mahu mengelakkan mereka daripada menceburi bidang hiburan tetapi saya akan memberikan sokongan sekiranya mereka berminat, cuma saya akan tapis. Bagaimanapun saya mahu minat mereka seiring dengan pelajaran kerana tidak mahu mereka ketinggalan.

Nama anda turut terpalit dalam kisah rumah tangga Izreen Azminda. Adakah anda ada menghubunginya selepas itu?

Selepas isu itu, saya ada menghubunginya dan menasihatinya sebagai rakan. Cuma nasihat saya padanya kali ini lebih meluas dan saya juga beritahunya tidak mahu melihat dia menghadapi situasi seperti itu.

Bagaimanapun, saya hanya boleh menasihatinya setakat yang termampu kerana saya tidak boleh masuk campur untuk hal yang lebih dalam.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?

Saya baru habis menjalani penggambaran drama berjudul Projek Dapat Baby, selain bakal muncul dalam program masakan Ketuk-Ketuk Ramadan.

Post a Comment

Previous Post Next Post