Pilihan bijak 
Diana Danielle


Duet - Diana bakal muncul dengan single duet bersama penyanyi serta komposer, Reyza Hamizan berjudul Infiniti.

Hampir tiga bulan mengunci mulut daripada memberikan sebarang kenyataan berhubung kontroversi yang melanda suaminya yang juga pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil akhirnya figura jelita, Datin Diana Danielle tampil menjawab segala tanda tanya yang menjadi persoalan sebelum ini.

Jika diimbas kembali, Farid Kamil menggemparkan dunia hiburan pada 11 Januari lalu apabila dia berdepan lima pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan, mengambil dadah, menghalang tugas penjawat awam dan bersikap tidak sopan.

Terbaharu, dia turut didakwa kerana memberikan keterangan palsu kononnya tiga rakan artis meletakkan dadah ke dalam minumannya.

Ketika kontroversi itu hangat diperkatakan, sudah tentu si isteri turut terkena tempiasnya tetapi Diana memilih untuk tidak memberikan sebarang komen kepada pihak media yang mengejarnya.

Bagaimanapun peluang bertemunya pada majlis pelancaran program terbaharu stesen televisyen ntv7 di T6@ Light Grey, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini tidak dilepaskan, malah pelakon berusia 27 tahun itu sudah dapat menebak pertanyaan yang bakal diajukan kepadanya.

“Setakat ini keadaan Farid bagus. Tiada yang berubah, cuma kami kini fokus kepada keluarga dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” ujarnya memulakan bicara.

Walaupun kes membabitkan Farid masih berjalan di mahkamah, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 itu mengambil pendekatan untuk lebih tenang dalam berdepan dugaan tersebut.





Tenang

Satu persatu dugaan yang datang sekalipun tidak mematahkan semangat wanita ini untuk terus memberikan sokongan buat suami tercinta.

Kongsi bintang filem Hanyut itu, dia memilih untuk tidak bercerita perihal tersebut kepada umum kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.

“Sebagai personaliti, saya perlu tenang dalam mengawal situasi tetapi sebagai manusia biasa, saya tidak boleh menyembunyikan apa yang dirasa.

“Saya lebih gemar menyelesaikan masalah tersebut bersama ahli keluarga tanpa perlu bercerita kepada umum,” jelasnya.

Katanya, berdiam diri merupakan jalan terbaik baginya berdepan situasi tersebut kerana apa yang diluahkannya nanti akan tetap menjadi perhatian.

Selain mahu meredakan keadaan, dia juga tidak mahu kontroversi tersebut memberi kesan dalam jangka masa panjang.

“Sebagai seorang manusia biasa, apa yang anda rasakan, saya juga rasa begitu. Saya tidak mahu memanjangkan isu tersebut kerana ia langsung tidak membantu situasi yang dihadapi Farid.

“Daripada memikirkan masalah yang dihadapi, lebih baik saya fikir cara untuk mengawal situasi,” ujar ibu kepada Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 2, itu penuh hemah.

Kehidupan normal
Diajak bercerita mengenai kedua-dua anaknya, Diana turut berkongsi pengalaman menghantar anak perempuannya ke tadika (play school) sejak Ogos tahun lalu.

Ujarnya, sebagai ibu dia perasan yang anaknya itu tidak gembira selepas beberapa bulan mendaftar di tadika berdekatan rumahnya.

“Sekolah merupakan satu fasa kehidupan dan kita sebagai ibu bapa pasti boleh merasai sekiranya anak kita tidak bersedia untuk melalui fasa tersebut.

“Saya masukkan dia ke sekolah yang sama dengan abangnya dan ingatkan dia suka tetapi saya silap. Jadi, saya memilih untuk tidak menghantarnya lagi ke sekolah itu,” jelasnya yang mahu anaknya mempelajari ikatan perhubungan dengan orang sekeliling.

Katanya lagi, jika mendaftarkan anak-anak memasuki alam persekolahan terlalu awal juga boleh menyebabkan mereka tidak menyukai selain akan mempunyai sifat yang berbeza di sekolah.

Ketika ditebak berkenaan persoalan adakah dia akan membenarkan kedua-dua anaknya menceburkan diri dalam dunia glamor, Diana mempunyai jawapan tersendiri.

“Saya memilih untuk tidak menggalakkan mereka terlibat dalam industri. Seperti diketahui, Muhammad ada berlakon iklan komersial, begitu juga dengan Aurora.

“Saya nampak Muhammad sebenarnya tidak gembira kerana kesemua proses itu memenatkan. Oleh sebab itu, selagi boleh dikawal, saya akan mengawalnya kerana mahu mereka menghabiskan fasa persekolahan terlebih dahulu selain menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak seusia mereka,” ujarnya.

Lagu ketuhanan

Beralih cerita perihal kerjaya pula, pelakon drama Raisha ini memberitahu, dia bakal mengeluarkan single duet bersama penyanyi dan komposer Reyza Hamizan berjudul Infiniti.

“Apa yang menarik, lagu bergenre Balada R&B ciptaan sepenuhnya oleh Reyza ini merupakan lagu ketuhanan tetapi khalayak boleh mengintrepretasikannya menerusi cabang kasih sayang sesama manusia juga.

“Saya cuba mencabar diri menyanyikan lagu ini kerana mahu mengubah persepsi orang yang seseorang pelakon itu tidak boleh menyanyi dengan baik dan saya mahu buktikan kebolehan menerusi lagu ini,” jelasnya.

Selain itu, pelakon jelita ini juga baru habis menjalani penggambaran filem Gol & Gincu yang bakal ditayangkan pada penghujung tahun ini.

“Sebenarnya ramai peminat menyangka saya dan Ummi Nazeera menggantikan watak utama dalam filem itu sebelum ini tetapi sebenarnya kami berdua merupakan watak baharu yang diwujudkan,” katanya yang memegang watak sebagai Zak dalam filem tersebut.

Diana juga memberitahu, dia kini bergandingan dengan Naz Rahman mengendalikan rancangan bual bicara Kata Serasi? yang membincangkan perihal perhubungan sesama manusia di NTV7.

“Saya masih baharu dalam bidang pengacaraan. Secara tidak langsung saya beruntung kerana bergandingan bersama Naz. Dia banyak memberi sokongan serta membantu saya.

“Ini kerana menerusi rancangan tersebut ada juga yang memerlukan kami bersiaran secara langsung dan oleh sebab itu, saya perlu banyak melakukan kajian untuk tidak nampak kekok di kaca televisyen,” ujarnya mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post