Neelofa, Khai Bahar pilihan peminat


Biarpun sering dilanda kontroversi dan menjadi mangsa kritikan khalayak, si jelitawan bernama Neelofa berjaya membuktikan portfolionya kekal utuh apabila memenangi anugerah utama pada acara tahunan Anugerah MeleTOP Era (AME2018) iaitu Top Top MeleTOP bagi kategori wanita buat kali kedua.

Tahun lalu, Neelofa pernah memenangi kategori sama sewaktu fenomena drama Suri Hati Mr. Pilot sedang melanda peminat drama tempatan.

Ditemui usai AME2018 melabuhkan tirai, Neelofa yang turut pulang dengan trofi kategori Fesyen MeleTOP dan Pelakon TV MeleTOP, langsung tidak menjangka kemenangannya merangkul hadiah utama pada tahun ini.

“Tidak jangka langsung untuk menang kerana saya telah bersedia untuk katakan yang tahun ini bukan milik saya. Ditambah dengan kontroversi dan kecaman yang diterima, saya memang tidak sangka peminat akan menunjukkan kesetiaan mereka dengan undian. Ini merupakan hadiah paling berharga buat saya,” ujar Neelofa.

Menang bergaya dengan tiga buah trofi pada malam tersebut, Neelofa bagaimanapun tidak dapat mengelak daripada kata-kata kurang manis yang mendakwanya membeli undi untuk menang.

Tidak melatah, pelakon berusia 29 tahun yang juga seorang usahawan berjaya itu menjelaskan, spekulasi sebegitu adalah normal dalam sesebuah anugerah berasaskan undian 100 peratus.

“Itu persoalan biasa untuk sesebuah anugerah berasaskan undian. Perkara paling penting, tidak kiralah berapa banyak wang yang dilaburkan dan askar yang dikumpul untuk mengundi online, akhirnya semua rezeki ditentukan Allah.

“Saya tidak perlu longgokkan sejumlah wang untuk menang kerana tahu ada peminat sebagai tulang belakang. Mereka akan terus memberi sokongan walaupun saban hari saya menerima kecaman dan kritikan yang teruk. Namun, saya pasti kemenangan ini tidak akan menutup mulut orang.

“Sebabnya mereka akan terus bercakap dan saya tidak boleh puaskan hati semua orang,” jelas Neelofa yang menyifatkan pelakon Fazura dan Farah Nabilah sebagai pesaing terdekatnya.

Sungguhpun memenangi kategori Fesyen MeleTOP tahun ini, Neelofa juga menyedari busana yang disarung dalam AME2018 tidak akan terlepas daripada menjadi mangsa kecaman netizen.

Tahun ini gaun kembang berwarna merah jambu gelap bertatah ribuan batu swarovski yang dipakainya disamakan dengan watak Cheshire Cat daripada animasi Alice In Wonderland.

Sementara itu, sepasang lagi busana rekaan Fiziwoo dinamakan The Painting Dress yang digayakan dengan tudung kain net telah disamakan seperti kelambu katil dan bunga telur oleh netizen.

“Sudah lima tahun saya menjadi pengacara MeleTOP. Setiap tahun juga fesyen saya akan dikritik. Sudah terbiasa dan paling penting saya berpuas hati dengan pakaian yang disifatkan seperti sebuah hasil seni. Terpulanglah apa orang hendak katakan, saya tidak kisah.

“Saya tidak memberikan perhatian terhadap kecaman mengenai pakaian kerana tugas utama adalah sebagai pengacara. Alhamdulillah, saya telah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin. Tahun ini juga, saya lebih bersedia,” ujar Neelofa yang turut menyanyi lirik lagu dikir barat bersama Sabri Yunus di atas pentas semasa pertengahan acara.





Khai ‘raja’ undian

Jika tahun lalu Khai Bahar hanya memenangi kategori Artis Baharu MeleTOP, tahun ini, penyanyi lagu Bayangan itu berjaya membolot tiga anugerah iaitu Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP dan Top Top MeleTOP (Lelaki). Kemenangan berganda yang diraih cukup mengejutkan kerana pada sangkaannya, Zizan Razak atau Fattah Amin yang akan membolot anugerah utama.

“Anugerah ini cukup sukar untuk dimenangi. Saya bersyukur kerana peminat berusaha mengundi untuk melihat penyanyi kesayangan mereka menjulang anugerah utama.

“Selain peminat Malaysia, saya juga menerima undian daripada peminat Indonesia. Bukan mudah kerana terdapat beberapa kekangan untuk mereka menghantar undian, tetapi demi melihat saya menang mereka tetap berusaha. Itu yang membuatkan saya cukup terharu,” kongsi Khai.

Sengaja diusik dengan soalan, kononnya dia sekadar bergelar jaguh dalam anugerah melibatkan undian, tetapi tidak layak menang pada acara yang dinilai dari segi bakat oleh juri profesional, Khai mengangguk akur.

Dia bagaimanapun tetap mengimpikan agar bakatnya diiktiraf sama seperti penyanyi profesional lain suatu hari nanti.

“Saya telah menang banyak anugerah yang melibatkan undian. Namun, impian saya adalah untuk menang anugerah yang dinilai oleh juri profesional. Saya akur, setakat ini belum ada rezeki tetapi akan berusaha untuk mencapai impian tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khai yang mendendangkan lagu Luluh di pentas AME2018 turut dikritik kerana disifatkan gagal mendendangkan lagu tersebut dengan baik secara langsung.

Mengakui kelemahannya, Khai mendedahkan dia gagal mengawal perasaan gugup meskipun telah membuat persediaan rapi.

“Saya akui terdapat kekurangan dalam persembahan, tetapi memang tidak boleh buat apa sebab perasaan gugup datang secara tiba-tiba. Walhal sebelum itu saya telah melakukan persediaan rapi.

“Itulah masalah terbesar saya apabila melihat jumlah penonton yang ramai, perasaan gugup pentas gagal dikawal. Perkara yang sama terjadi ketika menyertai Anugerah Juara Lagu baru-baru ini,” kata penyanyi yang baru muncul dengan single berjudul Rahsia Kita berduet dengan Fatin Husna itu jujur.

Arif Jiwa popular

Selain Neelofa dan Khai Bahar yang menang besar, paling menjadi perhatian pada AME2018 ialah Arif Jiwa Asyraf yang memenangi kategori Si Cilik MeleTOP menewaskan anak selebriti lain seperti Aaisyah Dhia Rana dan Lara Alana.

Sungguhpun baharu berusia setahun, Arif yang merupakan anak kepada pelakon Tya Arifin dan Asyraf Khalid itu berjaya menawan hati jutaan peminat kerana undiannya berada pada tangga kedua mengikuti rapat Khai Bahar.

Jika Khai Bahar tidak memenangi anugerah utama, tempatnya akan diambil oleh Arif, satu fakta yang cukup mengejutkan.

“Saya tidak boleh memberi jumlah undian secara terperinci. Namun, apa yang boleh dikongsi adalah, Arif Jiwa berada pada tangga kedua jumlah undian tertinggi bagi kategori lelaki. Sementara bagi kategori wanita, pada tangga kedua selepas Neelofa ialah Farah Nabilah,” ujar Penolong Naib Presiden Segmen Kanak-Kanak & Remaja Astro.

Sementara itu, Tya pula tidak menahan rasa gembira dengan kemenangan Arif.

“Sebelum ini saya memang sibuk berkempen untuk Arif. Jadi, ini anugerah pertamanya dan saya bersyukur tidak semua kanak-kanak dapat peluang seperti itu.

“Soal perancangan masa depan, kami akan pertimbangkan tawaran seperti program realiti dan iklan yang tidak memerlukan Arif menjadi orang lain. Sebelum ini sudah ada tawaran tetapi kami tidak menerimanya kerana Arif masih terlalu muda. Tahun ini Arif akan terlibat dalam sebuah program raya Astro,” kata Tya yang juga menantu tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Post a Comment

Previous Post Next Post