Bidang pengacaraan bukan lagi asing buat Karl Shafek yang sinonim sebagai pengacara untuk program seperti On Air, Hip TV, 3 Hari 2 Malam, Nasi Lemak Kopi O, Aroma Tradisi, Hey Maskulin dan terbaru CJ Wow Shop.
Komitmen terhadap tugasan ini menjadikan Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim, 38, perlu melupakan bidang lakonan drama dan teater.
“Saya sebenarnya sudah lama tak berlakon teater kerana beberapa faktor antaranya Istana Budaya yang sedang melalui proses pengubahsuaian sebelum ini.
“Sekarang ia baru dibuka dan produksi baru nak bermula. Insya-Allah akan ada tawaran untuk berlakon teater kerana keutamaan saya yang pertama ialah pengacaraan manakala kedua berlakon teater dan ketiga barulah berlakon drama TV,” katanya.
Menurut Karl, tumpuan sepenuhnya diberikan terhadap CJ Wow Shop kerana siaran langsung dan rakaman turut berlangsung setiap hari.
“Saya kena berada di set jam 10 pagi sehingga jam 4 petang. Saya akan muncul di semua saluran milik Media Prima Berhad. Boleh dikatakan dunia saya berlegar-legar di CJ Wow Shop.
“Sebenarnya ia tak menyekat kerjaya saya yang lain. Cuma saya kenalah pandai uruskan semua kerjaya ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Karl pernah mengacara program CJ Wow Shop mengikut jadual biasa dan pada sebelah malamnya mencuri-curi masa menjalani latihan teater dan ia bukanlah masalah besar.
“Kesibukan semakin berganda sekarang kerana selain pengacaraan, saya juga sibuk dengan perniagaan pakaian sejak 2014.
“Alhamdulillah saya bukan fokus pada pakaian ‘streetwear’ lelaki dan perempuan saja tapi sekarang turut fokus buat baju korporat untuk syarikat besar,” katanya.
Kali terakhir Karl muncul di Istana Budaya ialah menerusi teater Ombak Rindu dan selari dengan peningkatan usia, dia bercadang menubuhkan syarikat produksi pula.
“Saya sudah ada syarikat produksi sendiri dan kalau boleh tahun ini nak mulakan dengan teater kecil di lokasi yang sesuai. Saya sudah ada pengalaman dalam teater tapi sebagai permulaan biarlah mulakan di lokasi kecil terlebih dahulu.
“Saya ada pasukan sendiri bernama Fun Fun Studio yang ditubuhkan awal tahun ini dan bercadang mulakan projek tak lama lagi. Saya sekarang dalam proses mengumpul skrip yang bagus daripada kawan dalam bidang teater. Saya tak nak tergesa-gesa kerana mahukan hasil yang bagus,” katanya yang membayangkan hanya muncul sebagai ‘cameo’ dalam teater terbitannya.
Berdasarkan pengalamannya yang sering berdepan kesukaran terpilih berlakon teater, Karl bercadang merealisasikan impian buat mereka yang berbakat dan komited berlakon untuk berlakon teater terbitannya.
Dalam pada itu, kebolehan Karl sebagai pengacara diiktiraf lagi apabila dipilih sebagai pengacara pertandingan Pencarian Wanita Melayu 2018 anjuran Plaza Shah Alam, Shah Alam.
Karl Shafek bersama barisan juara Wanita Melayu musim terdahulu.
Dia akan terbabit mengacara untuk majlis kemuncak yang bakal diadakan pada 28 April nanti di pusat beli-belah itu.
“Ia bukanlah asing kerana saya kerap dipanggil mengacara untuk majlis tertutup. Cumanya kali ini lebih terbuka apabila diadakan di ruang legar Plaza Shah Alam.
“Untuk mengacara Pencarian Wanita Melayu dikira suatu benda baru dan saya tak bimbang sekiranya berlaku kesilapan kerana ia bukanlah program yang disiarkan secara langsung di TV.
“Saya akan mengacara secara santai dan boleh bergurau dengan peserta. Mana tahu mungkin jodoh saya ada di sini kerana saya pun belum berkahwin,” katanya bergurau.
Alang-alang bercakap soal jodoh, Karl berkata, dia langsung tidak tertekan belum mempunyai teman hidup.
“Keluarga saya tak pernah desak untuk kahwin dan tiada tekanan langsung. Cuma kadang-kadang terfikir juga kerana kebanyakan rakan zaman belajar sudah ada keluarga dan beranak-pinak.
“Komitmen saya yang penuh pada karier buatkan saya tak banyak masa untuk fikir soal kahwin. Mungkin pada usia sekarang, sangat sesuai untuk saya cari jodoh,” katanya yang pernah membintangi drama Rindu Awak 200%.