Kugiran Masdo menongkah fesyen muzik


Dihuni empat sekawan di bawah bumbung jenama Kugiran Masdo, Ali Sariah selaku vokalis, Putu Ceri (bes), Ambobzeela (dram) dan Mawi (gitaris), pantas mencuri perhatian ramai apabila beberapa lagu dendangan mereka seperti Bunga mudah menjentik pesona jiwa pendengar.

Bergerak sendiri (indie), Masdo barangkali sedikit janggal kedengaran buat peminat arus perdana namun hari demi hari, pengaruh muzik mereka semakin berkembang. Kerana apa? Kerana jenis muzik yang dipersembahkan mereka lain daripada yang lain.

Jarang sekali anak-anak muda berminat untuk meluncurkan muzik yang berentak pop yeh yeh atau era 1960-an. Alasannya, zaman itu sudah lama berlalu dan kemungkinan besar, pendengar tidak akan mengendahkan ideologi yang dibawa. Bagi Masdo, perhatian daripada orang ramai bukan yang dikejarkan. Apa yang penting adalah kepuasan bermain muzik seperti apa yang direncanakan kata hati.

“Alhamdulillah, memang tidak sangka diterima dalam industri secara perlahan-lahan. Kewujudan kami sebagai satu band pun atas dasar ‘suka-suka’. Tidak sangka suka-suka lama-kelamaan menjadi serius.

“Masdo pun tidak mahu terlalu terikut-ikut dengan apa yang menjadi ‘makanan’ arus perdana. Kami main muzik jujur dan popular atau tidak bukan satu perkara yang menjadi persoalan utama kerana lagi seronok buat apa yang kita suka tanpa memusingkan kepala dengan pendapat orang tentang diri kita,” ujar Ali yang turut bertindak sebagai gitaris.

Pengaruh P. Ramlee
Masdo sebelum ini dikenali sebagai The Lipstick tetapi selepas rombakan ahli kumpulan, Ali sebagai ahli utama dalam band berkenaan telah membuat keputusan untuk menukarkan nama The Lipstick kepada Kugiran Masdo iaitu sebuah band yang memainkan muzik pop berasaskan 1960-an dan digubah mengikut cita rasa masa kini.

Diajak berbicara tentang bagaimana nama Masdo boleh dijadikan judul nama kumpulan, Ceri berkata, ia mengambil inspirasi daripada watak Masdo dalam filem malar segar, arahan dan lakonan legenda seni tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Kami semua adalah pemuja dan peminat setia P. Ramlee. Beliau adalah idola kami. Memang tidak dinafikan beliau adalah inspirasi terbesar kami dalam perihal membikin muzik.

“Lakonan, muzik dan komedi yang dicetuskan oleh beliau memang akan dijadikan rujukan sampai bila-bila. Saya menonton filem lakonannya memang tidak pernah jemu langsung dan saya akui, sebelum tidur pun tengok gambar dia untuk mendapatkan inspirasi dalam berkarya,” ujar Ceri sampai disampuk hela tawa oleh rakan-rakannya yang lain ketika ditemui Kosmo! pada sidang media khas program temuduga terbuka Skim Latihan 1 Malaysia peringkat zon utara di ibu negara baru-baru ini.

Ambobzeela atau mesra disapa sebagai Am mencelah dan terus menjemput suasana meriah perbualan: “P. Ramlee adalah ‘kiblat’ muzik kami.”





Indie

Mengulas lanjut, Ali menjelaskan Masdo memang bergerak secara indie dan selesa dengan keadaan tersebut.

“Saya sedar sekarang bukan zaman indie macam zaman Hujan atau Meet Uncle Hussein suatu ketika dahulu. Kami perlu bekerja keras untuk memastikan karya yang kami ingin persembahkan sampai ke pendengar.

“Alhamdulillah, banyak sokongan daripada rakan-rakan industri serta peminat sendiri. Kami fikir, jenis muzik yang menjadi tumpuan sekarang adalah yang berentak 80-an atau 90-an namun itu tidak akan berkekalan sampai bila-bila.

“Perlu ada pemuzik yang berani menongkah arus yang tidak hanya ingin mencari glamor semata-mata. Industri muzik di Malaysia ini bukan besar mana dan disebabkan itu, kita perlukan kepelbagaian dan kreativiti yang lebih,” jelas Ali bersahaja.

Adat bermula dalam setiap perkara, Masdo turut mendedahkan mereka mendapat kecaman dan kritikan ramai saat memulakan langkah muzik. Ada yang menyifatkan mereka sebagai kugiran muzik yang ‘entah apa-apa’ namun itu tidak mematahkan semangat.

“Ada yang kecam pakai baju mahu pergi kerja pejabat yang entah apa-apa tapi hanya bermain muzik. Ada juga yang mengejek fizikal kami kerana ada yang kurus kering macam saya, ada yang tembam macam Ceri.

“Mahu cari baju yang sesuai pun susah kerana di atas pentas kami perlu sentiasa seragam. Ada juga yang kata fesyen kami ketinggalan zaman dan sebagainya. Rasa murung juga kadang-kadang namun apabila sekarang orang mula menerima kehadiran kami, rasa seronok dan puas,” jelas Ali.

Ketinggalan zaman
Memainkan muzik yang dilabel sebagai ‘ketinggalan zaman’, Masdo memegang tinggi mohor muzik ‘lama’ yang mereka sifatkan sebagai antara perkara paling terbaik berlaku dalam sejarah perkembangan muzik dunia.

Justeru, dengan keadaan global yang bergerak pantas bersama teknologi media sosial semakin berkembang, mereka melihat hal berkenaan sebagai satu perkara yang positif.

“Kita beruntung sekarang kerana media sosial memudahkan kerja untuk berkarya. Bayangkan zaman dahulu bagaimana susahnya ingin berkongsi karya yang berkualiti tanpa kemajuan media sosial seperti sekarang.

“Sekarang ini, rakam muzik, letak di Instagram atau YouTube senang sahaja diketahui ramai. Zaman P. Ramlee atau The Beatles dahulu saya tidak dapat bayangkan bagaimana pemuzik menjual karya dengan keadaan ekonomi yang masih lagi tidak stabil,” kongsi Ceri.

Sebelum menggulung bicara, Kosmo! sempat bertanya apakah misi paling besar yang sedang dirancang Masdo.

Ali berkata, mereka ingin meluaskan jenama muzik mereka di luar negara.

Bukan satu perkara yang mustahil, Ali ingin sekali melebarkan pengaruh muzik mereka di negara jiran, Indonesia.

“Indonesia pasarannya besar. Insya-Allah kalau ada rezeki, kami ingin membuat persembahan di sana sekali gus meluaskan pengaruh muzik ‘lama’ kami di Indonesia. Kami yakin ada penggemar jenis muzik kami di sana.

“Seperkara lagi, semoga muzik indie terus berkembang. Tidak kisahlah tidak mendapat sambutan hebat seperti zaman Hujan dahulu asalkan kita semua tidak berhenti melakukan persembahan kerana itu adalah kunci kejayaan mana-mana pengkarya muzik,” tutup Ali yang turut mendedahkan Masdo bakal muncul dengan klip video perdana untuk lagu Bunga.

Kugiran Masdo satu nama band yang masih asing dalam arus perdana namun semakin popular dengan dendangan muzik berteraskan 1960-an seperti Bunga dan Teruna Dara. Menjadikan seniman agung Allahyarham 
P. Ramlee sebagai idola, mereka berbicara tentang kepayahan, kritikan netizen dan pegangan konkrit karya muzik.

Post a Comment

Previous Post Next Post