Aiman Tino okey ditampar Fazlina


Aiman teruja kerana diberi peluang menjayakan watak Kumin menerusi drama Mak Cun.

Pernah menyatakan hasrat untuk bergelar pelakon kepada ibunya tidak lama dahulu, impian penyanyi Aiman Tino beraksi di hadapan kamera akhirnya terlaksana apabila dia diberi peluang untuk menjayakan watak Kumin menerusi drama komedi popular, Mak Cun.

Ketika ditemui pada sidang akhbar Mask Run yang berlangsung di Restoran Wow KL di Kuala Lumpur baru-baru ini, pemilik nama sebenar Mohammad Aiman Yusri itu mengakui masih kurang yakin dengan keupayaan yang ada dalam dirinya.

Kongsi Aiman, dia yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang lakonan sedikit kurang pandai untuk menghayati watak, terutama apabila diminta untuk menjayakan babak yang memerlukannya menangis.

Dia yang memberitahu ditampar oleh aktres berkaliber, Fazlina Ahmad Daud untuk merealisasikan watak tersebut kemudian telah menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan peminatnya.

Bagaimanapun, kata Aiman tidak perlu isu tersebut diperbesarkan kerana dia okey dan mereka lakukannya demi mendapatkan hasil yang baik.

KOSMO!: Bagaimanakah Aiman boleh ditawarkan untuk menjayakan watak Kumin dalam Mak Cun musim baharu?

AIMAN: Sebenarnya, saya memang minat berlakon dan pernah menyuarakan hasrat tersebut kepada ibu saya. Kebetulan, ketika berada di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini, ibu saya bertemu dengan pengarah dan pelakon Erma Fatima. Ketika berbual, Erma masih belum bertemu dengan pelakon yang sesuai untuk karakter Kumin. Ibu saya terus memberitahu Erma yang saya mahu berlakon. Seminggu kemudian, saya menerima tawaran untuk menjayakan watak tersebut.

Bagaimanakah situasi Aiman ketika hari pertama penggambaran diadakan?

Sebelum ini, saya sangka yang bidang lakonan ini mudah. Tetapi, tanggapan saya itu jauh meleset. Saya perlu belajar banyak perkara termasuklah menghafal skrip dan menghayati watak. Bayangkan, saya pernah ditampar oleh Fazlina Ahmad Daud kerana dia mahukan saya betul-betul menjiwai watak yang memerlukan saya menangis.

Boleh kongsikan dengan lebih lanjut mengenai pengalaman tersebut?

Sebelum menjayakan babak berkenaan, saya mengadu kepadanya yang saya tidak boleh menangis. Jadi, dia bawa saya ke satu tempat di luar lokasi penggambaran dan meminta saya bayangkan perkara sedih-sedih. Kemudian, dia terus menampar saya. Dari situ, saya berjaya menangis dan mood untuk menjayakan babak sedih terus sampai. Hasilnya, kami dapat melunaskan penggambaran dengan lancar.





Terkejut dengan cara pelakon lama memberi tunjuk ajar ketika di lokasi penggambaran?

Agak terkejut juga pada mulanya. Tetapi, saya sedar mereka lakukan perkara tersebut kerana mahu saya belajar. Tambahan pula, Fazlina baik orangnya. Selesai kami menjayakan babak tersebut, dia terus memeluk saya dan meminta maaf. Biarpun saya berlakon dengan nama-nama besar, tetapi saya tidak berasa terpinggir kerana mereka banyak membantu.

Baru-baru ini, rakan seangkatan anda, Ismail Izzani menyatakan yang dia tidak kisah jika tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebagai penyanyi baharu, apakah komen anda mengenai perkara tersebut?

Sebagai seorang kawan, saya sentiasa menyokong pilihan Ismail. Benar, SPM itu penting, tetapi, jika kita rajin dan kuat berusaha, kita mampu berjaya pada masa depan.

Adakah anda akan melanjutkan pelajaran atau terus menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya sepenuh masa?

Saya akan melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta di Shah Alam, Selangor pada tahun ini. Dalam masa sama, saya masih akan terus menyanyi, selagi Tuhan berikan rezeki dan tubuh badan yang sihat.

Berkenaan dengan acara larian Mask Run, adakah anda akan turut berlari pada acara yang dijadualkan berlangsung pada 15 April depan?

Pada asalnya, saya dijemput untuk menyanyi pada hari tersebut. Tetapi, saya suka dengan acara sukan sebegini. Jadi, kemungkinan besar saya akan turut sertai larian bersama peserta lain. Bagi yang berminat untuk menyertai larian bertopeng ini, boleh layari laman web www.resiliencestudio.com.my untuk keterangan lanjut.

Selain lakonan, boleh ceritakan perkembangan terbaharu anda?

Saya baru sahaja melancarkan single keempat berjudul Ku Sesat Dalam Rindu. Buat masa ini, saya masih lagi dalam rangka promosi single, baik secara konvensional mahupun digital. Dalam masa terdekat juga, saya akan muncul dengan produk minuman terbaharu iaitu Jus Manno.

Post a Comment

Previous Post Next Post