Memasuki tahun kelima penganjurannya, AME2018 masih menggunakan peminat sebagai penentu kepada pemenang pilihan mereka.
Pemilihan artis kontroversi, Neelofa sebagai pengacara dilihat tidak menjejaskan penerbitan Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) yang dijadualkan berlangsung bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 April depan.
Ketua Strategi Kandungan & Inovasi Astro, Namanzee Harris berkata, AME2018 bukanlah platform untuk mengetengahkan pengacaranya sahaja, tetapi sebuah produksi untuk semua yang terlibat dengan industri hiburan, termasuk peminat.
“Walaupun Neelofa dilanda pelbagai kontroversi, kami tidak melihat ia sebagai satu masalah meletakkannya sebagai pengacara untuk AME2018.
“AME2018 milik industri. Ia diadakan untuk meraikan penggiat seni dan dalam masa sama memberi peluang kepada peminat untuk memilih artis kesayangan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar memperkenalkan pencalonan akhir AME2018 di Timbre @ The Row, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Boikot
Dalam pada itu, Namanzee juga diminta untuk mengulas mengenai kebarangkalian jika Anugerah MeleTOP Era pada tahun ini diboikot oleh penonton.
“AME2018 mempunyai pengikut tersendiri, termasuk peminat-peminat artis lain. Jadi, kami yakin penonton masih menganggap AME2018 sebagai satu jenama anugerah yang masih lagi kukuh,” katanya lagi.
Namanzee turut menjelaskan, AME2018 bakal dipersembahkan dengan gaya berlainan, sesuai dengan usia anugerah tersebut yang kini memasuki tahun kelima.
“Untuk edisi kali ini, kita cuba lakukan kelainan dengan memperkenalkan tema creative black tie.
“Tema ini diharap dapat membuka ruang untuk para tetamu bergaya formal tetapi dengan suntikan fesyen kasual,” katanya lagi.
Berkenaan persembahan pula, Namanzee menamakan artis kelahiran Indonesia, Virgoun sebagai salah seorang artis yang bakal mengadakan persembahan istimewa pada malam itu nanti.
“Selain itu, pihak produksi juga membariskan beberapa artis tempatan baharu dan lama bagi menghiburkan penonton sepanjang anugerah berlangsung,” katanya.
Antara artis tempatan yang bakal membuat persembahan termasuklah Awie, Mus May, Mas Idayu, Ernie Zakri, Syamel, Hael Husaini, Haqiem Rusly dan Xpose Band.
Lebih istimewa, kumpulan R&B Ruffedge bakal membuat kemunculan semula di pentas AME2018 selepas 10 tahun tidak mengeluarkan sebarang single atau album studio.
Undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir bagi setiap kategori boleh dibuat menerusi laman web rasmi www.anugerahmeletopera.com.my, aplikasi Era dan Raku serta melalui kiriman SMS sebelum 12 tengah hari pada 8 April depan.
AME2018 bakal disiarkan secara langsung menerusi empat buah saluran iaitu Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Astro Maya HD (134).
Ia juga boleh distrim menerusi Youtube di saluran MeleTOP.