Penyanyi, Khai Bahar mengakui ada kelemahan dalam persembahannya ketika menyampaikan lagu Luluh di acara Anugerah Meletop Era 2018, semalam.
Menurutnya, rasa gugup dan gementar adalah kelemahan utamanya terutamanya apabila perlu membuat persembahan berskala besar.
"Pertama sekali, saya ingin memohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam persembahan saya. Sebagai penyanyi, semestinya saya sentiasa mengharapkan yang terbaik.
"Namun, saya akui kelemahan saya setiap kali perlu tampil di pentas berskala besar adalah saya akan gugup," katanya.
Menurut Khai, 24, dia cuba sebaik mungkin untuk melawan rasa gugup itu dan meminta nasihat daripada ramai penyanyi lain.
"Saya cuba sedaya upaya untuk melawan kelemahan saya itu kerana saya tak mahu persembahan saya nampak tak memuaskan.
"Macam-macam petua dan nasihat saya minta daripada mereka yang lebih berpengalaman antaranya Ernie Zakri, Syamel, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Siti Sarah dan ramai lagi.
"Kata mereka, sentiasa berfikir bahawa itu adalah persembahan biasa walaupun saya sebenarnya sedang berdiri di pentas pertandingan atau yang berskala besar seperti ini," katanya.
Di media sosial terutamanya Twitter dan Facebook, ramai netizen yang memberi kritikan mengenai persembahannya yang dikatakan tidak sebati dengan muzik.
Yang pasti, Khai sentiasa mencari solusi untuk memastikan persembahannya di masa akan datang, ada peningkatan.
Di acara itu, Khai membolot tiga anugerah iaitu Penyanyi Meletop, Lagu Meletop menerusi lagu Bayang dan anugerah utama, Top Top Meletop Lelaki.
Khai Bahar dinobatkan Penyanyi dan Lagu Meletop pada Anugerah MeleTOP ERA 2018 di Stadium Axiata Bukit Jalil.