Izzue Islam lega salah faham majlis selesai


Perselisihan faham antara pelakon Izzue Islam dengan penganjur acara pertunjukan fesyen, baru baru ini terlerai selepas mereka mengadakan pertemuan empat mata, hari ini.

Izzue ketika dihubungi berkata, pihak penganjur sudah menjelaskan situasi sebenar dan mengaku isu dibangkitkannya wujud kerana salah faham dan kesilapan komunikasi sesama mereka.

"Perkara itu berlaku kerana salah faham dan kurangnya komunikasi. Saya terkilan dan terasa dipinggirkan pihak penganjur tetapi selepas mereka menceritakan perkara sebenar saya anggap isu ini sudah selesai.

"Saya ingin memohon maaf sekiranya tindakan saya sebelum ini menguris hati mana-mana pihak dan harap isu itu tidak diperbesarkan," katanya.

Izzue meluahkan rasa terkilan di Instagram Stories miliknya apabila menyifatkan penganjur tidak berlaku adil dan berasa seperti menumpang majlis menampilkan 14 selebriti lain.

Izzue mendakwa penganjur gagal menghormati jenama bajunya iaitu Izzuexclusive dengan tidak meletakkan akaun Instagram peribadinya di setiap kemaskini akaun rasmi penganjur terbabit berbanding selebriti lain berada pada majlis itu.





Ditanya adakah akan meneruskan kerjasama selepas memaklumkan belum terlambat menarik diri, Izzue berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

"Buat masa ini, saya belum beri kata putus. Kami masih berbincang dan mengharapkan segalanya berjalan dengan baik.

"Saya harap apa yang berlaku dijadikan iktibar supaya setiap perkara diberi layanan sama rata," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post