Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam, 28, mengakui tidak kisah dikawal isteri merangkap pengurusnya, Awin Nurin jika itu membawa kebaikan dan kebahagiaan buat mereka.
Izzue ketika dihubungi berkata apa yang pasti ia kenalah bergantung pada keadaan juga. Paling utama dan jelas, haruslah menjurus ke arah kebaikan.
"Untuk pendapat saya, dikawal itu bagus. Tetapi, bergantung pada keadaan juga. Kalau kawal ke arah positif, ia memang sangat patut dilakukan.
"Contohnya kalau suami kuat boros, suka keluar malam atau kaki lepak, keadaan sebegitu bagi saya memang patut isteri kawal jika ingin hidup bahagia," katanya.
Bagi pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan ini, biarpun bertemu jodoh dengan wanita matang, sebagai suami penting untuk dia bersikap jujur.
"Apatah lagi, dengan kerjaya saya sebagai selebriti, kejujuran adalah perkara utama. Dek kerana itu, apa saja yang saya lakukan mesti beritahu isteri.
"Bukan sebab saya memang dikawal atau takutkan isteri, cuma tidak mahu timbul sebarang masalah di kemudian hari dalam rumah tangga kami.
"Tambahan pula, cabaran dan dugaan seorang selebriti agak besar terutama jika berhadapan dengan gosip serta fitnah yang direka oleh mereka tidak bertanggungjawab," katanya.
Akui pelakon drama Din Sardin di TV9 ini lagi, sentiasa sedar statusnya sebagai suami orang membuatkan dia sangat menjaga batas dan pergaulan.
Menurut Izzue, dia mengimpikan kebahagiaan dikecap bersama isteri tercinta, Awin kekal hingga ke akhir hayat.
"Jadi, saya sentiasa ingatkan diri supaya bersikap jujur dengan isteri.
Mencari rezeki itu dituntut, tetapi lebih indah jika ia (rezeki ) diberkati," ujarnya.
Izzue bernikah dengan Awin atau nama sebenar Nurinafilah Waharudin, 36, pada 2 Jun 2013 meskipun beza usia mereka lapan tahun.
Hampir lima tahun hidup bersama, Izzue juga memberitahu secara peribadi dia melihat tidak ada beza jika kahwin wanita matang atau muda.
Ujar anggota kumpulan Forteen ini, apa yang penting macam mana cara pasangan itu memberikan kebahagian, kasih sayang dan kepercayaan di antara satu sama lain.