Rody, Niena menghitung hari ke alam berumah tangga .
Setelah beberapa kali digosipkan menjalinkan hubungan cinta, akhirnya sudah ditakdirkan jodoh gitaris kumpulan Kristal, Rody adalah bersama si cantik manis penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman.
Majlis pernikahan pasangan ini bakal dilangsungkan pada 27 April ini, sementara majlis resepsi pula adalah pada keesokan harinya di Kulai, Johor.
"Untuk majlis resepsi pihak saya, insya-ALLAH akan diadakan juga tapi lambat lagi. Yang penting, kami dahulukan nikah dan selesaikan majlis di sebelah pihak perempuan. Yang lain-lain kemudian pun tak apa," ujar Rody.
Ditanya perasaannya yang lebih kurang seminggu sahaja lagi untuk bergelar suami, Rody akui agak gementar.
"Gementar tapi happy (ketawa)," katanya ringkas.
Rody dan Niena telah berkenalan selama enam bulan sebelum lamaran dibuat. Menariknya, Rody melamar Niena menerusi laman sosial Instagram miliknya pada bulan September dan tidak menunggu lama mereka memilih untuk bertunang pada 4 November tahun lalu.
Tambah Rody, dia memilih Niena kerana berasakan mereka ada keserasian dan Niena juga pandai mengambil hati dan menjaga hati dia dan keluarganya.
"Niena juga seorang yang happy go lucky dan mudah mesra dengan keluarga," ujar Rody.