Cincin tanda? Nelydia Senrose buka mulut


Keberanian pelakon Nelydia Senrose memuat naik foto cincin di jari manisnya di media sosial, Jumaat minggu lalu menjadi perhatian ramai.

Apatah lagi, netizen mula berteka-teki status terkini dirinya dan siapakah gerangan pemberi cincin tersebut.

Justeru peluang untuk bertemu dengan pelakon ini di pelancaran koleksi raya Starvilion digunakan media untuk bertanya status sebenar dirinya.

Tidak menafikan cincin tersebut diberikan seseorang, pemilik nama sebenar, Nik Zaris Nelydia Nik Sen, ini bagaimanapun menegaskan dia masih lagi single.

"Status saya masih single, bukan tunangan orang atau sudah dirisik.

" Apa yang boleh saya katakan cincin ini adalah pemberian daripada dia dan bukannya cincin tanda, " ujarnya.





Tambah gadis berusia 23 tahun ini, dia seboleh-bolehnya enggan menguar-uarkan benda yang belum pasti dan berjanji tidak akan merahsiakan sekiranya dia bakal mendirikan rumah tangga.

"Sejak dulu lagi, bila saya berkawan dengan sesiapa pun saya memang harap pengakhiran yang baik. Tapi hanya ALLAH SWT yang lebih mengetahui.

"Lagipun hubungan ini masih baru lagi. Kami belum sampai setahun pun berkawan.

"Apa yang boleh saya katakan, kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan belum berjumpa keluarga antara satu sama lain," jelasnya mengenai jejaka yang dikenali dengan nama Mr. H.

Post a Comment

Previous Post Next Post