Penyanyi, Fiq Halim yang berganding dengan Aepul (Drama Band) dan Aweera (Prime Domestic) menerusi lagu Selamatkan Aku tidak kisah andai dituduh menumpang nama mereka.
Pelantun lagu Tiga Malam Tanpa Bintang itu berkata, penyanyi lain turut menggunakan strategi sama bagi meningkatkan populariti disamping menunjukkan bakat nyanyian.
“Kalau pun benar saya menumpang glamor mereka, apa salahnya? Rasanya, sudah ramai penyanyi menggunakan taktik sama bagi membantu melonjakkan populariti sendiri.
“Saya tidak kisah pun kalau ada netizen akan mengecam dan menuduh saya seperti itu. Apa pun, sebelum bercakap buruk, lebih baik dengar sendiri lagu itu di YouTube,” katanya.
Selepas beberapa tahun menyepikan diri, Fiq muncul dengan lagu baharu berjudul Waktunya pada tahun lalu.
Dia kini terus memacu kerjaya dan merancang untuk tampil dengan single seterusnya selepas sambutan Aidilfitri.
“Lagu itu Selamatkan Aku dimuatnaik di YouTube pada Oktober tahun lalu dan sekarang baru buat promosi. Saya ingin memberikan laluan pada lagu ini terlebih dahulu barulah tampil dengan single solo sendiri selepas hari raya nanti,” kata jejaka berusia 36 tahun itu.
Fiq Halim atau nama sebenarnya, Mohd Firdaus Abdul Halim adalah juara Mentor musim kedua pada 2006.
Anak seni kelahiran Sandakan, Sabah itu adalah protege kepada Amy Search.