Eira Syazira bakal berhijrah ke Indonesia


Pelakon Eira Syazira bakal berhijrah ke Indonesia untuk mengembangkan bakat seninya di sana selepas mendapat tawaran untuk merakamkan album.

Menurut isteri kepada pelakon Azad Jasmin, perancangan itu sebenarnya telah bermula hampir tiga tahun lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan sementara selepas dia hamil anak ketiga.

Bagaimanapun kesungguhan syarikat pengurusannya, Positif Arts Entertainment yang turut menguruskan kerjaya seni beberapa artis popular di sana seperti Keris Patih, Wali Band dan Ayu Tinting, yang sanggup menunggunya, Eira tidak mahu bertangguh lagi.

“Ada ketika perasaan takut menguasai diri, bimbang ditipu dan dipermainkan. Bagaimanapun, saya sudah hampir tiga tahun bernaung di bawah syarikat itu.

"Mereka melayan saya dengan baik hingga sanggup menunggu hampir tiga tahun. Sepatutnya, saya berhijrah ke Jakarta selepas melahirkan anak kedua, tetapi saya hamil tanpa sedar, tidak lama kemudian," katanya kepada sebuah portal hiburan.





Jelas Eira, dia bakal merakamkan album di bawah label PT Nagaswara, namun terdahulu sebelum itu bakal muncul dengan single keduanya, Say, hasil ciptaan komposer Indonesia Endruu.

Tidak sekadar itu, Eira juga diberikan peluang untuk terus aktif dalam bidang lakonan apabila mendapat tawaran membintangi sinetron pada Ramadan ini.

Bakal memulakan kehidupan baharu di negara seberang itu dalam masa yang terdekat, Eira mengakui mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami dan anak-anak yang turut bersamanya ke sana.

“Kalau diikutkan, saya hanya mahu duduk di rumah menjaga tiga cahaya mata, apatah saya baru saja melahirkan anak ketiga.

"Bagaimanapun, Azad memberi semangat untuk saya melebarkan sayap ke Jakarta. Alhamdulillah, rumah dan kenderaan disediakan untuk saya.

"Saya akan ke Jakarta, lusa untuk rakaman lagu single kedua, tetapi kembali semula selepas urusan kerja selesai dan membuat persiapan berpindah," kongsi Eira yang baru sahaja melancarkan produk kesihatan di bawah jenamanya, Seri Lady, pada Sabtu.

Post a Comment

Previous Post Next Post